Ahad, 26 November 2023 | 5:27pm
Orang ramai termasuk kanak-kanak mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Beijing, Khamis lalu. - FOTO AFP-JIJI
Orang ramai termasuk kanak-kanak mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Beijing, Khamis lalu. - FOTO AFP-JIJI

China bergelut tangani lonjakan kes penyakit pernafasan

BEIJING: Kementerian Kesihatan China hari ini menggesa pihak berkuasa tempatan untuk menambah bilangan klinik rawatan demam.

Gesaan itu menyusul ketika China bergelut dengan lonjakan kes penyakit berkait pernafasan, dalam musim sejuk penuh yang pertama di negara ini sejak ia melonggarkan sekatan COVID-19.

Malah, perkembangan itu menjadi isu global pada minggu lalu apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meminta China memberikan lebih banyak maklumat, dengan memetik laporan oleh Program Pemantauan Penyakit Muncul mengenai kluster kes radang paru-paru yang tidak didiagnosis dalam kalangan kanak-kanak.

Sebelum ini, China serta WHO pernah dipersoalkan mengenai ketelusan laporan awal kemunculan pandemik COVID-19 yang tercetus di bandar Wuhan pada akhir 2019.

Kelmarin, WHO memaklumkan, tiada patogen baharu atau luar biasa dikesan dalam kes penyakit sejak kebelakangan ini.

Jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Nasional China, Mi Feng pula berkata lonjakan kes penyakit pernafasan akut dikaitkan dengan peredaran serentak beberapa jenis patogen, dengan yang paling ketara ialah influenza.

"Usaha harus dilakukan untuk menambah bilangan klinik dan tempat rawatan berkaitan, melanjutkan waktu perkhidmatan, serta memperkukuh jaminan bekalan ubat-ubatan.

"Adalah perlu untuk memastikan tindakan cekap diambil bagi memastikan kawalan serta pencegahan epidemik di kawasan sesak utama seperti sekolah, institusi penjagaan kanak-kanak dan rumah kebajikan, sekali gus mengurangkan pergerakan orang ramai serta pelawat," katanya pada sidang media, hari ini.

Bilangan kes penyakit membabitkan kanak-kanak dilihat tinggi, terutama di kawasan utara seperti Beijing dan wilayah Liaoning di mana pesakit terpaksa menunggu lama untuk giliran rawatan di hospital.

Majlis Negara, Kabinet China kelmarin memberi amaran kes influenza dijangka meningkat pada musim bunga dan sejuk ini, manakala jangkitan 'mycoplasma pneumoniae' pula akan kekal tinggi di sesetengah kawasan.

Malah, pihaknya turut memberi amaran mengenai risiko perebakan semula jangkitan COVID-19.

"Semua lokaliti harus memperkukuhkan pelaporan maklumat mengenai penyakit berjangkit, bagi memastikan informasi itu dilaporkan secara tepat dan pada masanya," menurut Majlis Negara dalam satu kenyataan.

Khamis lalu, WHO dilaporkan berkata, data diberi oleh China mencadangkan kes penyakit kebelakangan ini berkait dengan pelonggaran sekatan COVID-19 sejak kira-kira 11 bulan lalu.

Selain itu, ia juga didorong peredaran patogen dikenali seperti 'mycoplasma pneumoniae', iaitu jangkitan bakteria biasa yang lazimnya menjejaskan golongan kanak-kanak, sejak Mei lalu. - REUTERS

Berita Harian X