JEDDAH: Nama dan identiti pemanggil telefon mudah alih di Arab Saudi akan mula dipaparkan Ahad ini selepas pengawal selia digital negara itu, Suruhanjaya Komunikasi, Angkasa dan Teknologi (CST), menyelesaikan prosedur berkenaan.
CST sebelum ini membentangkan draf spesifikasi teknikal untuk memaparkan nama dan identiti pemanggil.
Menerusi perkhidmatan itu, nama dan nombor pemanggil mesti dipaparkan dalam log panggilan dan peranti mesti boleh menerima serta memaparkan nama dan nombor pemanggil untuk semua jenis teknologi.
CST menyatakan perkhidmatan baharu itu bertujuan meningkatkan tahap kebolehpercayaan panggilan yang diterima oleh pengguna, serta memastikan keserasian rangkaian komunikasi dengan pengeluar peranti telefon mudah alih.
Spesifikasi itu bertujuan menggunakan teknologi moden bagi mengurangkan panggilan palsu dan melindungi pengguna, dan menyumbang kepada pengurangan kebergantungan terhadap program dan aplikasi yang tidak boleh dipercayai yang melanggar privasi pemanggil.
Memetik laporan Saudi Gazette, ia juga mendidik pengguna mengenai ciri berkenaan dengan memaparkan nama pihak yang disambungkan.
Bagaimanapun perkhidmatan itu hanya membenarkan nama entiti yang sah dipaparkan kepada pengguna, sama ada kerajaan atau swasta, melalui entiti yang melanggan perkhidmatan dengan penyedia perkhidmatan.
Skop spesifikasi memfokuskan kepada membolehkan ciri memaparkan nama pihak yang disambungkan dalam peranti terminal yang beroperasi pada rangkaian mudah alih di Arab Saudi.
Ia adalah ciri tambahan yang membolehkan penerima panggilan mengetahui identiti pemanggil dengan memasukkan nama pihak dari mana panggilan itu datang.
Pembekal perkhidmatan boleh menggunakan ciri berkenaan dalam rangkaian mereka untuk menentukan nama pemanggil, tanpa memerlukan tindakan pihak yang bersambung untuk mengaktifkan ciri itu.
Keperluan umum spesifikasi termasuk menggesa penyedia perkhidmatan telefon mudah alih dan talian tetap melaksanakan penyelesaian yang diperlukan untuk memudahkan ketersediaan ciri dalam rangkaian mereka mengikut spesifikasi. - AGENSI