Selasa, 26 September 2023 | 9:47am
Papan iklan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi di Kaherah, Mesir. - Foto REUTERS
Papan iklan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi di Kaherah, Mesir. - Foto REUTERS

Pilihan raya presiden Mesir pada Disember

ISTANBUL: Mesir akan mengadakan pilihan raya presiden pada 10 hingga 12 Disember ini, menurut pihak berkuasa pilihan raya negara itu pada Isnin.

Walid Hamza, ketua Pilihan Raya Kebangsaan, berkata rakyat Mesir di luar negara akan mengundi pada 1 hingga 3 Disember.

Calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya boleh memfailkan pencalonan pada 5 hingga 14 Oktober, Agensi Anadolu memetik kenyataannya di Kaherah.

Hamza berkata pemilihan presiden akan diadakan di bawah pengawasan penuh.

Penggal enam tahun Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi berakhir pada 2024, dan beliau masih belum menyatakan hasratnya untuk melanjutkan penggal ketiga.

Tujuh tokoh politik mengumumkan rancangan untuk bertanding termasuk Ahmed Tantawi, bekas ahli parlimen, yang dilihat sebagai calon pembangkang yang kuat jika beliau secara rasmi menyertai pilihan raya terbabit, menurut Anadolu.

Calon yang ingin bertanding mesti mendapatkan pengesahan daripada 20 ahli Parlimen atau 25,000 pengundi berdaftar merentasi sekurang-kurangnya 15 wilayah, dengan sekurang-kurangnya 1,000 pengesahan daripada setiap gabenor. – AGENSI BERNAMA-ANADOLU

Berita Harian X