Sabtu, 23 September 2023 | 2:03pm
Tentera Taiwan turut mengerahkan tentera darat, laut dan udara meronda perairan mereka ketika tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) mengadakan latihan ketenteraan berhampiran perairan sama. - Foto REUTERS
Tentera Taiwan turut mengerahkan tentera darat, laut dan udara meronda perairan mereka ketika tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) mengadakan latihan ketenteraan berhampiran perairan sama. - Foto REUTERS

Taiwan bimbang latihan ketenteraan melampau China

TAIPEI: Peningkatan kekerapan aktiviti ketenteraan China di sekitar Taiwan baru-baru ini meningkatkan risiko keadaan 'tidak terkawal' dan mencetuskan risiko pertempuran tidak sengaja.

Menteri Pertahanan Taiwan, Chiu Kuo-cheng, hari ini, berkata dua minggu lalu pihaknya menyaksikan puluhan jet pejuang, dron, kapal perang dan kapal pengangkut China, Shandong, beroperasi berhampiran perairannya.

China, yang menganggap Taiwan yang ditadbir secara demokrasi sebagai wilayahnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, melakukan semakin banyak latihan ketenteraan di sekitar pulau itu, dalam usaha menegaskan tuntutan kedaulatannya dan menekan Taipei.

Ditanya sama ada terdapat risiko pertembungan tidak sengaja mencetuskan konflik yang lebih luas memandangkan kekerapan aktiviti China, Kuo-cheng berkata: "Ini adalah sesuatu yang sangat kami bimbangkan".

Kapal perang dari Komander Teater Selatan dan Timur China beroperasi bersama di luar pantai timur Taiwan.

Pesawat perang menyertai latihan ketenteraan Komander Teater Timur China di sekitar ruang udara Taiwan. - Foto REUTERS
Pesawat perang menyertai latihan ketenteraan Komander Teater Timur China di sekitar ruang udara Taiwan. - Foto REUTERS

"Risiko aktiviti membabitkan pesawat, kapal, dan senjata akan meningkat selain sentiasa memerlukan kedua-dua pihak memberi perhatian serta bersiap siaga," katanya.

China tidak mengulas mengenai latihan di sekitar Taiwan dan kementerian pertahanannya tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan ulasan.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Taiwan, Sun Li-fang, menambah bahawa pasukan Komando Teater Timur China adalah 'pasukan penyerang', yang meniru senario pertempuran.

China biasanya melakukan latihan berskala besar dari Julai hingga September, kata Kementerian Pertahanan Taiwan.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken dan rakan sejawatannya di Korea Selatan, Jepun menyatakan 'kebimbangan serius' terhadap kerjasama ketenteraan Russia-Korea Utara, termasuk kemungkinan perdagangan senjata.

Pergerakan kapal pengangkut China, Shandong (kiri), dipantau oleh kapal tempur kelas Keelung Taiwan, selain 35 pesawat perang China turut dikesan berada di ruang udara sekitar Taiwan. - Foto AFP
Pergerakan kapal pengangkut China, Shandong (kiri), dipantau oleh kapal tempur kelas Keelung Taiwan, selain 35 pesawat perang China turut dikesan berada di ruang udara sekitar Taiwan. - Foto AFP

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Luar Korea Selatan hari ini, ketika perjumpaan antara Blinken, Menteri Luar Korea Selatan, Park Jin dan Menteri Luar Jepun, Yoko Kamikawa.

Mereka bersetuju untuk bertindak balas secara tegas terhadap sebarang tindakan yang mengancam keselamatan serantau yang melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC).

Minggu lalu, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un membuat lawatan seminggu ke Russia dan membincangkan kerjasama ketenteraan dengan Presiden Russia Vladimir Putin.

Pegawai AS dan Korea Selatan menyatakan kebimbangan bahawa sidang kemuncak itu bertujuan membenarkan Russia memperoleh peluru dari Korea Utara untuk menambah stoknya yang semakin berkurangan bagi perang di Ukraine.

Rabu lalu, Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol berkata jika Russia membantu Korea Utara meningkatkan program senjatanya sebagai balasan bantuan perang di Ukraine, maka ia dianggap 'provokasi langsung' dan Seoul serta sekutunya tidak akan berdiam diri. - REUTERS

Berita Harian X