Sabtu, 16 September 2023 | 11:37pm
Gambar hiasan - FOTO REUTERS
Gambar hiasan - FOTO REUTERS

Keganasan senjata api ragut lebih 25,000 nyawa di AS

DUBAI: Sejumlah 470 insiden tembakan besar-besaran direkodkan di seluruh Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Ia sekali gus menyaksikan lebih 25,000 rakyat negara itu maut akibat keganasan senjata api, lapor Xinhua yang memetik Gulf News, kelmarin.

Menurut laporan itu, secara purata 22 individu berumur 17 tahun ke bawah, ditembak setiap hari. Kebanyakan mangsa itu maut akibat insiden tembakan, namun ada juga kematian disebabkan bunuh diri.

Budaya memiliki senjata api telah menjadi sebahagian daripada hak berperlembagaan rakyat AS, malah sebati dalam pemikiran sehingga insiden kanak-kanak ditembak yang direkodkan setiap hari tidak membawa sebarang perubahan dalam status quo itu, lapor Gulf News.

Dalam menghadapi realiti menyedihkan itu, Senator Chris Murphy daripada parti Demokrat memberitahu CNN: "Ini adalah satu-satunya negara di dunia di mana lelaki yang gagal berdepan realiti, meluahkan perasaan marah mereka dengan melakukan pembunuhan besar-besaran."

Keganasan senjata api telah menjadi isu yang membawa perpecahan dan maut dalam masyarakat AS sejak sekian lama.

Kematian akibat kecederaan berkait senjata api juga meningkat di AS sejak 2004, dengan angka pada 2021 mencatat rekod tertinggi berjumlah 48,830 orang, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS. – BERNAMA-XINHUA

Berita Harian X