TULKAREM: Tentera Israel menembak mati seorang warga Palestin dalam serbuan di kem pelarian Tebing Barat, kata kementerian kesihatan Palestin.
Kejadian berlaku ketika keganasan di wilayah yang diduduki tidak menunjukkan tanda berkurangan.
Kementerian itu berkata, Ayed Samih Khaled, 21 ditembak di kepala dengan peluru hidup di kem Nur Shams berhampiran bandar utara Tulkarem.
Tentera Israel berkata adegan tembak menembak dengan beberapa suspek berlaku semasa serbuan.
Seorang penduduk kem mengesahkan pertempuran meletus sejurus selepas pencerobohan bermula sekitar tengah malam (2100 GMT Isnin).
"Tentera datang dengan jentolak untuk memusnahkan beberapa jalan di dalam kem," kata penduduk kepada AFP.
Sementara itu, tentera Israel mendakwa mereka menyasarkan sebuah bangunan yang mengandungi alat letupan dan sebutir bom meletup semasa serbuan itu.
Berikutan pengunduran tentera Israel, seorang jurugambar AFP melihat rakyat Palestin berkumpul di sebelah timbunan runtuhan.
Tebing Barat telah diduduki oleh Israel sejak Perang Enam Hari 1967 dan tenteranya kerap melakukan pencerobohan ke kawasan yang pada dasarnya di bawah kawalan Palestin.
Serangan maut terbaharu itu menjadikan 226 orang Palestin terbunuh setakat tahun ini dalam keganasan yang dikaitkan dengan konflik Israel-Palestin.
Peningkatan pertumpahan darah baru-baru ini juga menyaksikan 32 warga Israel, seorang Ukraine dan seorang Itali terbunuh dalam tempoh yang sama, menurut pengiraan AFP berdasarkan sumber rasmi kedua-dua pihak.
Mereka termasuk, di pihak Palestin, pejuang serta orang awam dan, di pihak Israel, tiga anggota minoriti Arab. - AFP