Khamis, 17 Ogos 2023 | 1:15pm

Warga AS bunuh bapa, jalani hukuman mati di Arab Saudi

RIYADH: Arab Saudi semalam melaksanakan hukuman mati ke atas seorang warga Amerika Syarikat (AS) yang disabitkan kesalahan mendera dan membunuh bapanya.

Hukuman mati ke atas Bishoy Sharif Naji Naseef dijalankan di wilayah Riyadh, menurut laporan agensi berita Saudi Press Agency (SPA).

SPA melaporkan mahkamah mendapati Bishoy Sharif memukul dan mencekik bapanya yang juga seorang warga Mesir, sehingga mati sebelum mengerat mayat mangsa, selain menggunakan dadah serta cuba membunuh seorang lagi individu.

Bagaimanapun, usia Bishoy Sharif dan kaedah hukuman mati yang dilaksanakan ke atasnya, tidak dinyatakan.

Menurut penjumlahan oleh AFP berdasarkan laporan media negara ini, sekurang-kurang 91 orang termasuk 19 warga asing, telah menjalani hukuman mati di Arab Saudi, tahun ini.

Mereka meliputi warga Bahrain, Bangladesh, Mesir, India, Jordan, Nepal, Pakistan, Filipina dan Yaman.

Tahun lalu, sebanyak 147 hukuman mati dilaksanakan, meningkat lebih dua kali ganda berbanding 69 pada 2021. - AFP

Berita Harian X