Khamis, 10 Ogos 2023 | 4:22pm
Hadirin meratap kematian rakan ditembak tentera Israel di Nablus, hari ini. - Foto REUTERS
Hadirin meratap kematian rakan ditembak tentera Israel di Nablus, hari ini. - Foto REUTERS

Tentera Israel tembak mati pejuang Palestin

NABLUS: Tentera Israel hari ini menembak mati seorang pejuang warga Palestin dalam kejadian di Tebing Barat yang diduduki, selepas waris mangsa mendakwa tentera terbabit melaporkan ada berlaku aktiviti antikeganasan di situ.

Kementerian Kesihatan Palestin dalam kenyataan berkata, Amir Ahmed Mohammed Khalifa, 27, dibunuh semasa serbuan di Zawata, sebuah bandar dekat barat Nablus.

"Dia ditembak di kepala dan belakang dengan dua peluru oleh tentera Israel semasa pencerobohan mereka di bandar Zawata," katanya.

Di pihak Israel pula, tentera mendakwa seorang suspek dikatakan melepaskan tembakan ke arah anggotanya terlebih dahulu semasa menjalankan operasi antikeganasan di Nablus, dekat utara Tebing Barat.

"Tentera bertindak balas dengan tembakan langsung dan sasaran dikenal pasti," kata tentera tetapi tidak memperinci sama ada itu insiden sama Amir Ahmed terbunuh.

Menurut seorang ahli keluar mangsa yang tidak mahu namanya didedahkan, Amir Ahmed yang tinggal di kem pelarian Ain Beit Ilma berhampiran Nablus, dikehendaki oleh tentera Israel selama dua tahun dan enggan menyerah diri.

Sejak awal tahun lalu, keganasan maut memuncak di barat Tebing Barat yang menjadi kubu kuat kumpulan pejuang Palestin, tempat Israel sering kali melakukan serbuan di kawasan kejiranan yang padat.

Kawasan itu menyaksikan beberapa serangan ke atas warga Israel serta serangan oleh peneroka Yahudi ke atas masyarakat Palestin.

Mengikut data yang dikumpulkan AFP menerusi sumber rasmi kedua-dua belah pihak, keganasan pada tahun ini berkait konflik di antara Israel dan Palestin membunuh sekurang-kurangnya 213 warga Palestin, 28 warga Israel dan satu warga Ukraine dan Itali.

Ini termasuk di pihak Palestin, anggota pejuang serta orang awam termasuk di pihak Israel serta tiga ahli masyarakat minoriti Arab.

Mengikut sejarah, Israel menduduki Tebing Barat sejak 1967.

Pendudukan itu tidak termasuk Baitulmuqaddis timur yang dirampas. Ia adalah rumah kepada hampir tiga juta rakyat Palestin dan sekitar 490,000 warga Israel yang tinggal di penempatan yang dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa. - AFP

Tembakan ketika pengebumian, Ameer Khalifa, di Tebing Barat yang diduduki Israel. - Foto REUTERS
Tembakan ketika pengebumian, Ameer Khalifa, di Tebing Barat yang diduduki Israel. - Foto REUTERS

Berita Harian X