Isnin, 24 Julai 2023 | 9:41pm
Orang ramai di Taipei diberi panduan mendapatkan perlindungan, hari ini, ketika Taiwan mengadakan latihan ketenteraan. - FOTO AFP
Orang ramai di Taipei diberi panduan mendapatkan perlindungan, hari ini, ketika Taiwan mengadakan latihan ketenteraan. - FOTO AFP

9 cedera letupan mortar di pangkalan tentera Taiwan

ISTANBUL: Sekurang-kurang sembilan orang cedera dalam letupan mortar, hari ini, ketika Taiwan memulakan latihan ketenteraan tahunan yang dijadualkan berlangsung selama lima hari.

Menurut Kementerian Pertahanan Taiwan, letupan berlaku di depoh peluru di pangkalan tentera, Hsiang Feng di bandar pelabuhan Keelung berhampiran Taipei, lapor Agensi Anadolu yang memetik laman sesawang berita Focus Taiwan.

Insiden berlaku kira-kira jam 3 petang (waktu tempatan) ketika kakitangan teknikal sedang membuat pemeriksaan, menyebabkan dua daripada mereka dilaporkan kritikal.

Pihak berkuasa sedang menyiasat punca kejadian.

Taiwan mengadakan latihan ketenteraan dikenali sebagai Han Kuang yang memasuki edisi ke-39 sejak 1984 dan merentasi Selat Taiwan.

Latihan ketenteraan itu 'menguji keupayaan tentera untuk menangkis pencerobohan', menurut Focus Taiwan yang memetik Kementerian Pertahanan Taiwan.

Sebanyak 46 latihan pertahanan udara akan berlangsung hingga Khamis ini.

"Orang awam dikehendaki berlindung di kediaman masing-masing apabila latihan pertahanan udara dijalankan di kawasan mereka," kata kementerian.

Latihan kali ini juga akan menyaksikan angkatan bersenjata Taiwan menggunakan lapangan terbang awam.

Latihan antipengambilalihan itu dijangka diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan serta Lapangan Terbang Taitung di timur Taiwan.

Walaupun latihan serupa telah dijalankan di lapangan terbang Taiwan yang lain, ini adalah kali pertama ia dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan.

Latihan itu membabitkan anggota Komando Penerbangan serta Pasukan Khas Udara dan Tentera Darat melakukan simulasi berkait pencerobohan.

Sementara itu, China menerbangkan 11 jet, manakala enam kapal tentera laut dari Tanah Besar belayar di sekitar Taiwan, hari ini. – BERNAMA-ANADOLU

Berita Harian X