Isnin, 10 Julai 2023 | 11:15pm
Kepulan asap kelihatan di sebalik bangunan di Bandar Gaza susulan serangan udara Israel terhadap penempatan Palestin. - Foto AFP
Kepulan asap kelihatan di sebalik bangunan di Bandar Gaza susulan serangan udara Israel terhadap penempatan Palestin. - Foto AFP

Pejuang Palestin tembak tentera Israel dibunuh

RAMALLAH: Rejim zionis menembak seorang lelaki bersenjata yang didakwa melepaskan tembakan ke arah askar Israel di Tebing Barat.

Rejim zionis mendakwa lelaki terbabit keluar dari kenderaannya, sebelum 'melemparkan bom tangan dan melepaskan tembakan ke arah askar', berhampiran kampung Deir Nidham, di barat laut Ramallah.

"Askar bertindak balas dengan tembakan langsung ke arah penyerang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Palestin, berkata mangsa, Bilal Qadah, 33, disahkan maut akibat kejadian terbabit, bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut.

Keganasan terbaru itu melonjakkan lagi ketegangan di Tebing Barat, tentera Israel meningkatkan serbuan ke penempatan Palestin.

Setakat ini, seramai 18 rakyat Palestin, termasuk pejuang dan kanak-kanak serta dua askar Israel terbunuh di wilayah itu sejak 3 Julai lalu, kebanyakannya dalam serbuan dua hari Israel di bandar utara Jenin, operasi terbesar seumpamanya sejak beberapa tahun.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, minggu lalu, berkata Israel menggunakan 'kekuatan tentera keterlaluan', disokong serangan dron dan jentera berperisai, menyasarkan pejuang Palestin di kem pelarian Jenin.

Ahad lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar, 'kehidupan individu melakukan keganasan akan berakhir, sama ada di penjara atau kubur'.

Berdasarkan rekod AFP, sekurang-kurangnya 195 rakyat Palestin, 27 warga Israel serta masing-masing seorang warga Ukraine dan Itali maut akibat keganasan dikaitkan dengan konflik Israel-Palestin, tahun ini. - AFP

Berita Harian X