ISLAMABAD: Pakistan semalam melancarkan projek memajukan berjuta-juta hektar tanah kerajaan yang terbiar bagi menangani cabaran ketakjaminan makanan, lapor Agensi Anadolu.
Perdana Menteri, Shehbaz Sharif merasmikan Pusat Kecemerlangan Sistem Maklumat dan Pengurusan Tanah untuk meningkatkan keterjaminan makanan, menurut kenyataan pejabatnya.
Pakistan akan memajukan 4.4 juta hektar (10.9 juta ekar) daripada kira-kira sembilan juta hektar tanah terbiar kepada tanah yang produktif yang boleh diusahakan menggunakan Teknologi Agri Moden, katanya.
"Sistem paling moden akan membantu mengoptimumkan pengeluaran pertanian melalui teknologi inovatif dan amalan pertanian mampan berdasarkan potensi agro-ekologi tanah, selain memastikan kesejahteraan masyarakat luar bandar dan pemuliharaan alam sekitar," menurut Syarif.
Pakistan adalah ekonomi berasaskan pertanian, dengan sektor pertaniannya menyumbang 23 peratus kepada KDNK dan menyediakan pekerjaan kepada hampir 37.4 peratus tenaga kerja negara itu.
Kawasan yang kini dibangunkan untuk pertanian semakin berkurangan, manakala jurang pengeluaran penduduk semakin meningkat dengan import berkaitan pertanian yang mencecah paras AS$10 bilion (RM47.70 bilion), menyebabkan wujud tekanan ekonomi.
Menurut Program Makanan Sedunia, makanan untuk 36.9 peratus rakyat Pakistan tidak terjamin dengan 18.3 peratus daripada jumlah itu menghadapi krisis makanan yang teruk.
Walaupun krisis gandum turut meningkat dengan jumlah permintaan mencecah 30.8 juta tan metrik (mmt), pengeluaran semasa hanya kira-kira 26.4 mmt atau kekurangan hampir empat mmt.
"Pengeluaran kapas juga merosot sebanyak 40 peratus daripada 14.8 m bales kepada lima juta bales dalam tempoh 10 tahun lepas," menurut dokumen itu.
Menerusi projek baharu itu, kerajaan dengan sokongan angkatan tentera, akan meningkatkan pertumbuhan dan pengeluaran pertanian di kawasan tanah terbiar seluas lebih sembilan juta hektar, dalam beberapa fasa.
- BERNAMA-ANADOLU