Khamis, 6 Julai 2023 | 2:21pm
Data terkini agak membimbangkan dengan peningkatan 37 peratus kes di ED bergejala dengan penyakit seperti influenza serta peningkatan 30 peratus dalam kemasukan ke hospital di Australia hingga Ahad lalu, berbanding minggu sebelumnya. - Foto REUTERS
Data terkini agak membimbangkan dengan peningkatan 37 peratus kes di ED bergejala dengan penyakit seperti influenza serta peningkatan 30 peratus dalam kemasukan ke hospital di Australia hingga Ahad lalu, berbanding minggu sebelumnya. - Foto REUTERS

Australia rekod peningkatan kes influenza, kemasukan hospital membimbangkan

SYDNEY: Pihak berkuasa kesihatan di negeri New South Wales (NSW) Australia hari ini memberi amaran mengenai peningkatan kes influenza dan kemasukan ke hospital dalam kalangan kanak-kanak serta remaja, menggesa ibu bapa memvaksin mereka yang berusia lima hingga 16 tahun, lapor Xinhua.

Ketua Kesihatan NSW, Kerry Chant, berkata data terkini agak membimbangkan dengan peningkatan 37 peratus kes di jabatan kecemasan (ED) bergejala dengan penyakit seperti influenza serta peningkatan 30 peratus dalam kemasukan ke hospital hingga Ahad lalu, berbanding minggu sebelumnya.

Beliau berkata, kanak-kanak di bawah 16 tahun mewakili 54 peratus daripada semua kes bergejala di ED untuk penyakit seperti influenza dan lebih satu pertiga daripada kemasukan ke hospital adalah disebabkan kes sedemikian pada minggu lalu.

Sejak Mei, terdapat 16 kanak-kanak dimasukkan ke unit rawatan rapi dengan komplikasi yang mengancam nyawa akibat influenza dan bilangannya semakin meningkat.

"Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kami menyaksikan peningkatan kes influenza dalam kalangan kanak-kanak serta mereka yang berusia lima hingga 16 tahun, dengan kedua-dua kumpulan usia ini menyumbang kira-kira separuh daripada kes selsema yang didiagnosis di NSW setiap minggu," kata Chant.

Beliau berkata, perkara terbaik yang boleh dilakukan oleh ibu bapa ialah memastikan anak-anak mereka menerima vaksin selsema jika belum mendapatkannya.

- BERNAMA-XINHUA

Berita Harian X