Isnin, 3 Julai 2023 | 11:55am
 Foto fail REUTERS
Foto fail REUTERS

Taiwan uji peluru berpandu

TAIPEI: Taiwan memulakan ujian peluru berpandu secara langsung selama dua hari, bermula hari ini, menjelang latihan ketenteraan tahunan terbesarnya sebagai meningkatkan kesiapsiagaan menentang ancaman China.

Seramai 23 juta rakyat Taiwan hidup di bawah ancaman pencerobohan berterusan oleh Beijing, yang melihat pulau yang diperintah sendiri secara demokrasi itu sebagai sebahagian daripada wilayah China.

Tembakan peluru berpandu dilepaskan di daerah Pingtung selatan ketika hubungan antara Taipei dan Beijing semakin tegang, dengan China menjalankan dua latihan ketenteraan utama di sekitar pulau itu tahun lalu.

Tindakan terbaru dibuat pada April lalu, apabila Beijing melakukan simulasi serangan yang disasarkan ke atas Taiwan dan mengepung pulau itu.

Media kerajaan turut melaporkan, puluhan pesawat melakukan "sekatan udara."

Permainan perang itu adalah tindak balas kepada pertemuan Presiden Tsai Ing-wen dengan Speaker Dewan Rakyat Amerika Syarikat (AS), Kevin McCarthy awal bulan itu.

Ujian peluru berpandu hari ini dan esok dilakukan, dalam pada Beijing menggerakkan pasukan tentera udara dan lautnya di dalam dan sekitar Selat Taiwan, iaitu laluan sepanjang 180 kilometer antara pulau itu dan tanah besar China.

Bulan lalu, lapan pesawat pejuang China menghampiri zon bersebelahan Taiwan atau jalur laut dalam jarak 44 kilometer (km) dari pantainya.

Pada Mei, kumpulan kapal pengangkut pesawat Shandong, China belayar melalui Selat Taiwan dalam pelayaran yang jarang berlaku.

Hubungan itu tidak berkembang dengan lebih baik dalam bidang diplomatik. Sejak pemilihan Ing-wen, yang menolak tuntutan China ke atas Taiwan, Beijing enggan bercakap dengan kerajaan pimpinannya.

Minggu lalu, jabatan imigresen Taiwan mengumumkan menolak permohonan pegawai pelancongan China untuk melawat pulau itu bagi pameran pelancongan antarabangsa pada pertengahan bulan ini.

Menyatakan ia mengenai "keseluruhan situasi rentas selat", agensi imigresen berkata, terdapat keraguan mengenai "keperluan, segera dan tidak boleh diganti" bagi penyertaan pegawai pelancongan China itu.

Hanya pengendali pelancongan dari China yang mendapat kelulusan visa. - AFP

Berita Harian X