Khamis, 22 Jun 2023 | 10:31am
Kepulan asap daripada kebakaran akibat akibat letupan di sebuah restoran di Yinchuan, Ningxia, China. - Foto REUTERS
Kepulan asap daripada kebakaran akibat akibat letupan di sebuah restoran di Yinchuan, Ningxia, China. - Foto REUTERS

Letupan dalam restoran di China ragut 31 nyawa

BEIJING: Letupan gas di sebuah restoran di Yinchun, wilayah Ningxia, barat laut China semalam mengorbankan 31 mangsa, lapor agensi berita Xinhua.

Letupan disyaki berpunca daripada kebocoran tangki gas petroleum cecair di Restoran Barbeku Fuyang, sekitar jam 8.40 malam waktu tempatan, di jalan yang padat pengunjung di Wilayah Xingqing, Yinchuan.

Tragedi berlaku pada permulaan cuti tiga hari sempena Pesta Bot Naga, ketika sebahagian besar penduduk China keluar berhibur bersama rakan mereka.

Kepulan asap daripada kebakaran akibat akibat letupan di sebuah restoran di Yinchuan, Ningxia, China. - Foto REUTERS
Kepulan asap daripada kebakaran akibat akibat letupan di sebuah restoran di Yinchuan, Ningxia, China. - Foto REUTERS

Letupan itu menyebabkan 31 orang maut manakala tujuh lagi mangsa termasuk seorang dalam keadaan kritikal, kini sedang dirawat, menurut Jawatankuasa Wilayah Autonomi Ningxia Hui, Parti Komunis China.

Menurut laporan Xinhua, dua mangsa melecur teruk dan dua lagi cedera akibat terkena serpihan kaca.

Gambar disiarkan agensi berita rasmi CCTV menunjukkan puluhan anggota bomba di lokasi letupan cuba memadamkan api, ketika asap tebal berkepul keluar dari bahagian hadapan restoran berkenaan.

Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran akibat letupan di sebuah restoran di Yinchuan, Ningxia, China. - Foto REUTERS
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran akibat letupan di sebuah restoran di Yinchuan, Ningxia, China. - Foto REUTERS

Kaca dan serpihan lain berselerakan di sepanjang jalan yang turut menempatkan sejumlah besar restoran dan pusat hiburan.

Pelajar sekolah menengah dan pesara adalah antara mangsa, kebanyakannya maut akibat sesak nafas akibat terhidu asap tebal, menurut media milik kerajaan negeri, The Paper, yang memetik pegawai kerajaan terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat.

Setakat ini, pihak polis menahan sembilan orang termasuk tuan punya restoran, pemilik saham, dan kakitangan selain membekukan aset mereka.

Seorang kanak-kanak melihat kebakaran akibat letupan di sebuah restoran di Yinchuan, Ningxia, China. - Foto REUTERS
Seorang kanak-kanak melihat kebakaran akibat letupan di sebuah restoran di Yinchuan, Ningxia, China. - Foto REUTERS

Presiden China, Xi Jinping 'menuntut segala usaha digerakkan bagi merawat mereka yang cedera selain memperkukuhkan pemantauan keselamatan dan pengurusan dalam sektor utama bagi melindung nyawa manusia serta harta benda dengan berkesan', lapor CCTV.

Kementerian Pengurusan Kecemasan berkata pasukan bomba tempatan mengerahkan lebih 100 anggota dan 20 jentera ke lokasi letupan secepat mungkin.

Pihak berkuasa tempatan mengarahkan tindakan segera diambil bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat, merawat mereka yang cedera dengan kadar segera. Semua kerja menyelamat selesai pada jam 4 pagi tadi. - AGENSI

Berita Harian X