SEOUL: Pihak berkuasa Korea Selatan sedang menyiasat kewujudan 'balai polis rahsia' China secara tidak rasmi di seluruh negara itu selepas dakwaan mengenai kewujudannya menjadi perhatian di Seoul pada awal tahun ini.
Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan dan polis sedang menyiasat kegiatan yang disyaki umpama 'balai polis', yang beroperasi secara rahsia untuk kerajaan China, bukan saja di Seoul, malah di wilayah lain, termasuk Pulau Jeju.
Pada Mei, perkhidmatan perisikan membuat kesimpulan bahawa sebuah restoran Cina di daerah Songpa di tengah Seoul, bertindak sebagai pangkalan untuk operasi polis, yang tidak diiktiraf Seoul, untuk Beijing.
Penemuan yang didedahkan wakil pemerintah Parti Kuasa Rakyat, Choe Jae-hyeong, Khamis lalu, mendakwa Institut Confucius yang dikendalikan kerajaan China diperalat bagi menyebarkan propaganda Beijing dan melakukan kegiatan menentang aktivis pelajar yang menyokong gerakan demokrasi Hong Kong di universiti Korea Selatan.
Menurut Safeguard Defenders, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Sepanyol, China didakwa menjalankan operasi lebih 100 balai polis di sekurang-kurangnya 53 negara, dengan matlamat meluaskan pengaruhnya dan menghantar pulang warga China secara paksa.
Pegawai China sebelum ini berulang kali menafikan kewujudan balai polis seumpamanya di luar negara.
Reuters melaporkan, Konsulat China di Jeju, pada Khamis lalu, berkata apa yang dipanggil 'balai polis rahsia' China di pulau itu tidak wujud dan laporan media mengenai tempat sedemikian tidak mempunyai asas sebenar dan hanya 'spekulasi yang disengajakan'.
"Kami sangat tidak berpuas hati dan menentang sekeras-kerasnya laporan tidak tepat seperti itu," kata konsulat itu dalam satu kenyataan di akaun WeChatnya.
Pada taklimat media 15 Mei lalu, jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin, mengulangi bahawa 'tiada apa-apa yang dipanggil balai polis di luar negara' dan tuduhan sedemikian adalah 'maklumat yang salah... memburukkan China'.
Wang bagaimanapun, mengakui terdapat institusi yang membantu warga China di negara lain pulang ke tanah air ketika pandemik COVID-19, namun ia 'bukan dipanggil balai polis atau pusat perkhidmatan polis'.
"China sentiasa menjunjung prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain, mematuhi undang-undang antarabangsa dengan tegas dan menghormati kedaulatan kehakiman semua negara," katanya. - AGENSI