Isnin, 12 Jun 2023 | 2:55pm
Foto AGENSI
Foto AGENSI

Lubnan umum berakhirnya wabak taun

BEIRUT: Kementerian Kesihatan Awam Lubnan pada Isnin mengumumkan berakhirnya wabak taun atau kolera di negara itu, selepas tiada sebarang kes direkodkan sejak akhir Februari, lapor Xinhua.

"Lebih 12 minggu telah berlalu sejak kes terakhir yang disahkan direkodkan di Lubnan," menurut kementerian itu.

Namun, kementerian akan terus memantau penyakit yang berkaitan dengan diarea atau cirit-birit melalui pengawasan dan akan mempergiat kempen kesedaran terhadap penyakit itu.

Sebanyak 671 kes taun yang disahkan dilaporkan di Lubnan dalam pusingan terbaharu yang bermula pada 6 Okt 2022.

Pada November 2022, kementerian telah menerima lebih 600,000 dos vaksin taun dan sudah pun diedarkan kepada mereka yang memerlukan, terutamanya pelarian dan komuniti tuan rumah di kawasan hotspot dan wilayah yang terjejas oleh wabak itu. – BERNAMA-XINHUA

Berita Harian X