RIYADH: Arab Saudi menghukum mati seorang lelaki yang disabitkan menerima latihan senjata di 'negara musuh' yang tidak didedahkan, lapor media kerajaan yang terbaharu dalam kes hukuman mati membabitkan keganasan.
Sejak 2 Mei lalu, kerajaan Teluk itu menghukum mati tujuh banduan yang terbabit dengan keganasan, semuanya kecuali seorang di kawasan timur di mana minoriti Syiah.
Sebanyak 36 hukuman mati dijalankan setakat tahun ini, menurut pengiraan AFP berdasarkan laporan media negara.
Pada 2022, Arab Saudi menghukum bunuh 147 individu secara keseluruhan - lebih dua kali ganda angka pada 2021 iaitu 69, berdasarkan pengiraan AFP.
Seramai 81 orang dihukum mati bagi tempoh sehari pada Mac 2022 kerana kesalahan berkaitan keganasan, satu peristiwa yang mencetuskan bantahan antarabangsa.
Lelaki yang dihukum mati pada Selasa adalah warga Saudi yang 'menyertai salah satu kem negara musuh', di mana dia 'menerima latihan senjata dan bom' sebelum kembali 'untuk melakukan rancangan pengganasnya serta melanggar keselamatan kerajaan" , lapor Agensi Akhbar Saudi.
Hukuman mati itu berlaku sehari selepas tiga warga Saudi yang disabitkan dengan keganasan dibunuh di timur, menurut SPA.
Mereka juga disabitkan bersalah menyertai kem 'di luar kerajaan' dan menerima latihan senjata di sana, kata SPA.
Dua daripada lelaki itu dilatih mengenai cara membuat dan meletupkan bom.
Lebih 1,000 hukuman mati dilaksanakan sejak Raja Salman mengambil alih kuasa pada 2015, menurut laporan yang diterbitkan awal tahun ini oleh Reprieve dan Pertubuhan Hak Asasi Manusia Eropah-Saudi. - AFP