BAITULMAQDIS: Israel menuduh Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mengubah suai beberapa kapal komersial menjadi pentas pelancar peluru berpandu, dron dan komando, dengan tujuan memperluas pengaruh tentera laut sulit Tehran melangkaui rantaunya.
Tuduhan oleh Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, dilemparkan ketika ketegangan antara dua musuh serantau itu memuncak selepas usaha nuklear dan sokongan Iran kepada pejuang Palestin dan Lubnan.
Ketika berucap dalam forum Persidangan Herzliya, Gallant mendakwa beberapa gambar menunjukkan enam kapal Iran yang diubah suai, dengan lima daripadanya memiliki nama, dan menyifatkannya sebagai 'pangkalan keganasan terapung' dan satu daripadanya berlayar sehingga ke Teluk Aden baru-baru ini.
"Iran sedang berusaha memperluaskan aktivitinya ke Lautan Hindi, dan kemudian ke Laut Merah dan juga Laut Mediterranean," katanya.
Dalam perkembangan lain di Tehran, jurucakap Kementerian Luar, Nasser Kanaani, mengutuk lawatan Menteri Keselamatan Nasional Israel berhaluan pelampau kanan, Itamar Ben-Gvir, ke Masjid al-Aqsa, yang menjadi titik pertembungan dalam konflik Israel-Palestin.
Nasser menggesa masyarakat Islam antarabangsa untuk mengambil tindakan 'berkesan, segera dan mencegah' sebagai tindak balas terhadap perbuatan 'melampaui batas dan provokatif' oleh Israel.
Ahad lalu, Ben-Gvir yang dikawal ketat polis dan agensi keselamatan dalaman Israel, Shin Bet, melawat premis Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis, lokasi suci bagi umat Islam dan Yahudi.
Lawatan Ben-Gvir itu adalah yang kedua dilakukan pemimpin ultranasionalis daripada parti Jewish Power itu, sejak beliau menjadi anggota pentadbiran kerajaan gabungan Israel. - AGENSI