TAIPEI: Presiden Taiwan Tsai Ing-wen, hari ini berjanji untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di seluruh Selat Taiwan dalam berdepan tekanan tentera China yang makin meningkat, dengan mengatakan bahawa 'perang bukan pilihan'.
Sepanjang dua penggal Ing-wen sebagai presiden, pulau itu menyaksikan peningkatan pesawat perang memasuki ruang udara dan pencerobohan laut dari China, yang mendakwa Taiwan sebagai wilayahnya dan akan dituntut suatu hari nanti, dengan kekerasan jika perlu.
Ing-wen, yang menolak tuntutan Taiwan adalah sebahagian daripada China, berkata sepanjang tempoh perkhidmatannya, penduduknya sudah menunjukkan kepada dunia 'keazaman Taiwan untuk mempertahankan diri'.
"Dalam menghadapi serangan sivil dan ancaman ketenteraan China, rakyat Taiwan bersikap tenang, tidak agresif, rasional serta tidak provokatif.
"Peperangan bukan satu pilihan, dan mana-mana pihak tidak boleh mengubah status quo secara sebelah pihak dengan cara menggunakan kekerasan," katanya.
Ucapan itu dibuat ketika Taiwan bersiap sedia untuk pilihan raya presiden akan datang, yang akan diadakan pada Januari 2024.
Disebabkan had penggal di Taiwan, Ing-wen yang berusia 66 tahun tidak akan bertanding dalam pilihan raya akan datang.
Naib Presiden, William Lai dipilih sebagai calon presiden bagi Parti Progresif Demokratik yang memerintah.
Beliau lebih lantang bersuara mengenai kemerdekaan berbanding Ing-wen dan menegaskan pada Januari lalu bahawa dia menganggap Taiwan sudah menjadi 'negara berdaulat'.
Beliau bakal berdepan Datuk Bandar New Taipei yang popular, Hou Yu-ih.
Bekas ketua polis berusia 65 tahun itu diumumkan sebagai calon parti pembangkang utama Taiwan Kuomintang (KMT) yang secara tradisinya memihak kepada hubungan yang lebih mesra dengan China.
Beijing berkata, sebarang langkah Taiwan ke arah pengisytiharan rasmi kemerdekaan akan mendorong tindak balas tentera. - AFP