Rabu, 17 Mei 2023 | 11:08pm
Khalaf adalah seorang daripada 'UAE94', merujuk pada sekumpulan 94 individu yang dijatuhkan hukuman penjara pada 2013 atas tuduhan merancang menggulingkan kerajaan. - Foto ihsan menarights.org
Khalaf adalah seorang daripada 'UAE94', merujuk pada sekumpulan 94 individu yang dijatuhkan hukuman penjara pada 2013 atas tuduhan merancang menggulingkan kerajaan. - Foto ihsan menarights.org

Jordan ekstradisi aktivis didakwa cuba guling kerajaan UAE

DUBAI: Seorang lelaki yang dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun tanpa kehadirannya oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2013, telah diekstradisi ke negara itu selepas ditahan di Jordan.

Agensi berita UAE, WAM hari ini melaporkan lelaki itu yang juga aktivis, Khalaf Abd al-Rahman Humaid al-Rumaithi ditahan dan diserahkan kepada UAE oleh pihak berkuasa Jordan.

Menurut WAM, Khalaf dijatuhkan hukuman pada 2013 tanpa kehadirannya atas pertuduhan mewujudkan organisasi sulit yang berhubung dengan Ikhwanul Muslimin, bertujuan untuk menentang prinsip asas Kerajaan UAE.

Susulan ekstradisi itu, Khalaf akan dibicarakan semula di UAE atas tuduhan sama, lapor WAM.

Jumaat lalu, Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) memaklumkan, Khalaf akan berdepan 'risiko penahanan arbitrari, perbicaraan tidak adil dan kemungkinan diseksa' jika diekstradisi ke UAE.

Menurut HRW, Khalaf adalah seorang daripada 'UAE94', merujuk pada sekumpulan 94 individu yang dijatuhkan hukuman penjara pada 2013 atas tuduhan merancang menggulingkan kerajaan, selepas UAE melaksanakan tindakan keras terhadap kumpulan Islam susulan kebangkitan 'Arab Spring'.

Kementerian Hal Ehwal Luar UAE tidak memberi maklum balas ketika diminta mengulas kenyataan HRW.

HRW turut memaklumkan, Jordan menahan Khalaf di lapangan terbang antarabangsa Amman pada 7 Mei lalu sebaik beliau tiba dari Turkiye.

Anggota keluarga dan aktivis hak asasi mendakwa lebih 50 anggota UAE94 masih ditahan selama beberapa bulan dan tahun selepas tempoh pemenjaraan mereka berakhir. - REUTERS

Berita Harian X