Rabu, 17 Mei 2023 | 1:06pm
Mangsa terselamat gempa bumi di khemah dengan poster Erdogan di Kahramanmaras. - Foto REUTERS
Mangsa terselamat gempa bumi di khemah dengan poster Erdogan di Kahramanmaras. - Foto REUTERS

Erdogan satu lawan satu dengan Kilicdaroglu

ISTANBUL: Pusingan kedua pemilihan presiden Turkiye hujung bulan ini, menyaksikan persaingan hebat di antara Presiden, Recep Tayyip Erdogan dan lawannya, Kemal Kilicdaroglu.

Kedua-duanya gagal mendapat lebih 50 peratus undi pada pilihan raya presiden Ahad lalu untuk layak diangkat sebagai presiden.

Erdogan memperoleh 49.5 peratus, manakala Kilicdaroglu dengan 45 peratus, namun keadaan diramal mencabar apabila tinjauan pendapat menunjukkan ketua pembangkang mungkin menang.

Erdogan yang sudah memerintah sejak lebih 20 tahun, meminta pengundi Turkiye untuk menyokongnya pada pemilihan penentuan pada 28 Mei ini, untuk mengekalkan kestabilan di negara itu.

Dalam pilihan raya Parlimen yang juga diadakan pada Ahad, Perikatan Rakyat, terdiri daripada Parti AK Erdogan (AKP) dan rakan nasionalis dan pro-Islamis, memenangi 322 daripada 600 kerusi dalam badan perundangan baharu.

Ini sekali gus membolehkan Erdogan mengatakan mengundi beliau akan memastikan kestabilan.

Erdogan berkata, Turkiye memerlukan keharmonian di antara Parlimen dan jawatan presiden untuk tadbir urus yang berfungsi dengan cekap.

Kemal Kilicdaroglu, 74, akan berlawan dengan Erdogan dalam pemilihan pusingan kedua. - Foto AFP
Kemal Kilicdaroglu, 74, akan berlawan dengan Erdogan dalam pemilihan pusingan kedua. - Foto AFP

Sementara itu, calon Bebas, Sinan Ogan, 55, dalam temu bual dengan AFP berkata, beliau menjangka untuk melakukan lebih baik, menyuarakan harapan boleh dipilih sebagai presiden suatu hari nanti.

Ogan berkata, beliau terbuka untuk berdialog dengan dua calon presiden tetapi mungkin mengambil masa beberapa hari untuk membuat keputusan mengenai siapa yang ingin disokongnya.

Katanya, beliau mungkin boleh memberikan sokongan kepada Erdogan atau pesaing Kilicdaroglu, yang berpegang kepada fahaman sekular.

"Keputusan akan dibuat selepas perbincangan dengan Erdogan dan Kilicdaroglu. Mungkin juga kami tidak menyokong kedua-dua mereka," katanya.

Ogan meraih 5.2 peratus undi dalam perlumbaan pilihan raya itu.

Kebanyakan pelabur di Turkiye bertaruh Erdogan, 69, akan memenangi penggal lima tahun lagi dan meneruskan dasar ekonominya.

Calon Presiden Turkiye, Sinan Ogan. - Foto AFP
Calon Presiden Turkiye, Sinan Ogan. - Foto AFP

Berita Harian X