Isnin, 15 Mei 2023 | 1:50pm
Pemimpin Parti Move Forward dan calon perdana menteri, Pita Limjaroenrat pada sidang media susulan pilihan raya umum di ibu pejabat parti di Bangkok, Thailand. - Foto REUTERS
Pemimpin Parti Move Forward dan calon perdana menteri, Pita Limjaroenrat pada sidang media susulan pilihan raya umum di ibu pejabat parti di Bangkok, Thailand. - Foto REUTERS

Pemimpin pembangkang Thailand, Pita dakwa menang, sedia jadi PM

BANGKOK: Parti progresif Move Forward (MFP) mendakwa keputusan pilihan raya Thailand memihak kepada parti berkenaan, sekali gus menewaskan parti disokong tentera yang menerajui negara itu hampir sedekad lalu.

Jumlah undian meletakkan MFP sebagai pendahulu keputusan pilihan raya, diikuti saingannya, Pheu Thai yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri yang dibuang negeri, Thaksin Shinawatra.

Rentetan itu, pemimpin MFP, Pita Limjaroenrat, 42, berhasrat membentuk gabungan enam parti termasuk Pheu Thai bagi menerajui pentadbiran Thailand.

Beliau mengakui sudah menghubungi calon Perdana Menteri daripada Pheu Thai, Paetongtarn Shinawatra bagi tujuan demikian, dan menerima ucapan tahniah susulan kejayaan kempennya.

"Saya Pita Limjaroenrat adalah Perdana Menteri baharu Thailand. Kita bersedia untuk membentuk kerajaan dan saya berikrar untuk menjadi perdana menteri bagi semua lapisan masyarakat," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat MFP.

Warga Thailand menolak kepemimpinan Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha yang dibayangi isu kemerosotan ekonomi dan tindakan keras ke atas hak asasi, menerusi kertas undi.

MFP dan Pheu Thai diramal menang di 292 daripada 500 kerusi dewan undangan negeri, manakala dua parti utama disokong askar dijangka hanya mampu memenangi 76 kerusi.

Namun, terdapat kebimbangan keputusan itu akan digantung, rentetan rampasan kuasa dan perintah mahkamah yang dilaporkan sering mengatasi suara pengundi.

MFP sebelum ini, berikrar memperbaharui undang-undang lese-majeste di negara itu, sekali gus meletakkannya di landasan untuk bertembung dengan parti disokong tentera diraja yang sedang berkuasa. - AFP

Berita Harian X