TEKNAF: Bangladesh menggerakkan usaha memindahkan pelarian Rohingya daripada 'kawasan berisiko' ke beberapa pusat komuniti dengan ratusan dilapor meninggalkan pulau ketika taufan paling kuat dalam tempoh hampir dua dekad melanda negara itu dan Myanmar.
Taufan Mocha membawa angin sehingga 175 kilometer sejam dan pegawai meteorologi di Dhaka dan India mengklasifikasikannya sebagai 'sangat teruk'.
Ia dijangka mendarat pagi esok di antara Cox's Bazar, di mana hampir sejuta pelarian Rohingya mendiami kem yang sebahagian besarnya terdiri daripada tempat perlindungan biasa dan Sittwe di pantai Rakhine barat Myanmar.
"Taufan Mocha ribut paling kuat sejak Taufan Sidr," kata Ketua Jabatan Meteorologi Bangladesh, Azizur Rahman kepada AFP.
Taufan itu melanda pantai selatan Bangladesh pada November 2007 mengakibatkan lebih 3,000 terkorban dan menyebabkan kerosakan berbilion dolar.
Pihak berkuasa Bangladesh sebelum ini melarang etnik Rohingya membina rumah konkrit kekal, berikutan bimbang ia boleh mendorong mereka menetap secara kekal berbanding kembali ke Myanmar, negara di mana mereka melarikan diri lima tahun lalu.
"Kami tinggal di rumah diperbuat daripada kanvas dan buluh. Kami takut, panik dan kami tidak tahu mana kami akan berlindung," kata pelarian, Enam Ahmed, yang tinggal di kem Nayapara berhampiran bandar sempadan Teknaf.
Ramalan menjangkakan taufan akan membawa banjir yang boleh mencetuskan tanah runtuh, dengan kebanyakan kem dibina di lereng bukit. Bagaimanapun tanah runtuh fenomena biasa di rantau terbabit.
Taufan itu juga diramal mencetuskan gelombang dengan ketinggian sehingga empat meter yang boleh menenggelami perkampungan pesisir pantai serta sungai yang rendah.
Sementara itu, pegawai memaklumkan ribuan sukarelawan sudah memindahkan etnik Rohingya daripada 'kawasan berisiko' ke struktur yang lebih kukuh seperti sekolah.
Bagaimanapun Timbalan Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh, Shamsud Douza, berkata semua pelarian Rohingya di kem adalah berisiko.
Kebimbangan sama juga mencengkam kira-kira 8,000 penduduk di pulau paling selatan Bangladesh, Saint Martin, salah satu daerah peranginan terkemuka di negara itu yang betul-betul terletak di laluan ribut.
Pegawai berkata, kira-kira 1,000 penduduk pulau terbabit melakukan perkara sama iaitu memindahkan 250 bot ke Teknaf untuk menghalang ia daripada dihanyutkan.
Operasi di pelabuhan terbesar negara, Chittagong, turut dihentikan dengan pengangkutan bot dan aktiviti menangkap ikan turut dibekukan. -AFP