BAITULMAQDIS: Pejuang Palestin menyasarkan serangan roket ke arah Israel awal hari ini selepas semalaman pesawat negara Zionis itu mengebom sasaran Jihad Islam di Gaza.
Dua rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di pinggir Nablus di utara Tebing Barat di mana pertempuran tercetus, kata Kementerian Kesihatan Palestin.
Sehingga kini, tiada komen mengenainya daripada pihak tentera Israel.
Mesir cuba bertindak sebagai pengantara ke arah usaha gencatan senjata ketika pertempuran memasuki hari kelima, dengan sehingga kini sekurang-kurangnya 33 rakyat Palestin dan seorang Israel terbunuh.
Pertempuran terkini itu melanjutkan lagi keganasan semula yang tercetus sejak lebih setahun membabitkan kedua-dua pihak, meragut lebih 140 rakyat nyawa rakyat Palestin dan sekurang-kurangnya 19 warga Israel serta warga asing sejak Januari.
Tentera Israel memaklumkan, pihaknya menyerang pusat pentadbiran pejuang Jihad Islam serta tapak pelancar roket mereka dalam operasi menjelang subuh itu.
Rakaman udara hitam dan putih dikeluarkan menunjukkan letupan dan kepulan asap dari tapak yang dibom.
Beberapa jam kemudian pejuang Gaza pula melancarkan roket, menyebabkan siren berbunyi dan penduduk Israel di sekitar sempadan melarikan diri ke kawasan perlindungan bom. Tiada laporan mengenai kemalangan jiwa.
Enam komander tertinggi Jihad Islam dilapor terbunuh sejak Selasa, apabila tentera Israel melancarkan kempen menentang kumpulan itu, mendakwa ia sebagai serangan yang dirancang.
Pejuang jihad Islam, kumpulan bersenjata terbesar di Gaza selepas Hamas yang memerintah, melancarkan hampir 1,000 roket dengan sebahagiannya jauh ke dalam Israel.
Seorang wanita terbunuh pada Khamis apabila sebuah apartmen di pinggir bandar Tel Aviv terkena serangan roket.
Sekurang-kurangnya empat wanita dan enam kanak-kanak maut di Gaza yang dipenuhi penduduknya, wilayah pantai miskin yang disekat Israel dan Mesir sejak 2007.
Israel berkata, empat rakyat Palestin terbunuh disebabkan roket Gaza yang tersalah sasaran, namun ia dinafikan pejuang Jihad Islam. - AGENSI