GAZA: Tentera Israel mendakwa membunuh pemimpin kanan keenam pejuang Jihad Islam Palestin dalam serangan udara di Semenanjung Gaza, ketika pertempuran kedua-dua pihak semakin memuncak.
Dilaporkan, Iyad al-Hassani mengetuai operasi selepas beberapa komander pejuang kumpulan berkenaan terbunuh pada Selasa lalu.
Pakar perubatan berkata, serangan pada Jumaat mengorbankan seorang lagi mangsa, disusuli serangan roket yang dilancarkan dari Gaza dengan beberapa daripadanya mengenai kawasan berhampiran Baitulmaqdis.
Walaupun Mesir gigih berusaha sebagai pengantara bagi rundingan damai, kedua-dua pihak nampaknya tidak bersedia untuk meredakan ketegangan dan turut direkodkan sebagai serangan terburuk sejak Ogos.
Seorang pegawai Palestin yang biasa dengan rundingan di Mesir memberitahu BBC bahawa pegawai Mesir 'membentangkan cadangan baharu untuk gencatan senjata yang sedang dikaji ketika ini'.
"Mesir juga sedang menunggu jawapan daripada pihak Israel," katanya.
Sekurang-kurangnya 33 rakyat Palestin di Gaza terbunuh dengan separuh daripadanya terdiri orang awam sejak Israel melakukan beberapa siri serangan udara pada awal Selasa yang mengorbankan tiga komander tertinggi pejuang Jihad Islam Palestin, kata Kementerian Kesihatan Palestin.
Sejumlah 147 orang lagi dilaporkan mengalami kecederaan dalam serangan berkenaan.
Seorang warga awam Israel terbunuh, manakala lima lagi cedera akibat tembakan roket Palestin dalam tempoh yang sama, kata petugas perkhidmatan ambulans Israel, Magen David Adom.
Pejuang Jihad Islam yang juga kumpulan bersenjata kedua terbesar di Gaza selepas Hamas, mengekalkan serangan roket ke atas Israel.
"Kami tidak akan berundur dan pembunuhan ini hanya akan menjadikan kami lebih kuat. Dendam kami berterusan," katanya dalam satu kenyataan.
Beratus-ratus roket dilancarkan dengan amaran melalui siren sejauh utara Tel Aviv dibuat bagi memberi amaran kepada penduduk supaya mencari perlindungan.
Menurut jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, kira-kira 1.5 juta rakyat Israel iaitu 16 peratus daripada penduduk, diarahkan berpindah ke tempat perlindungan.
Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, berkata lebih 400 roket dilancarkan dari Gaza, manakala Jihad Islam menegaskan mereka bersama rakyat Palestin 'sesekali tidak akan menyerah kalah' biar apa pun berlaku. - AGENSI