BAITULMAQDIS: Serangan bertubi-tubi tentera Israel mengorbankan seorang lagi komander Jihad Islam dan timbalannya, menyebabkan keadaan kembali tegang di Gaza dengan angka korban meningkat kepada 30 mangsa termasuk wanita dan kanak-kanak.
Selain itu, serangan balas roket rentas sempadan oleh Palestin menyebabkan kematian pertama di Israel.
Walaupun Mesir gigih berusaha sebagai pengantara bagi rundingan damai, kedua-dua pihak nampaknya tidak bersedia untuk meredakan ketegangan yang kini masuk hari ketiga dan turut direkodkan sebagai serangan terburuk sejak Ogos.
"Kami kini berada di puncak kempen, iaitu untuk menyerang dan bertahan. Operasi ini akan diteruskan
"Sesiapa yang datang untuk mencederakan kami, hukumannya adalah pertumpahan darah," kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam satu kenyataan menerusi rakaman video yang dikeluarkan ketika melakukan lawatan ke pangkalan udara.
Kematian komander Jihad Islam, Ali Ghali dan timbalannya, Ahmed Abu Daqqa, menjadikan jumlah pemimpin kanan Jihad Islam yang terkorban bertambah kepada lima orang.
Dua lelaki bersenjata daripada kumpulan lain maut dalam serangan berasingan semalam, namun identiti mereka yang terkorban di lokasi berbeza masih belum diketahui.
Sementara itu, empat wanita dan enam kanak-kanak turut dilaporkan terkorban dalam serangan Israel ke atas Gaza yang berterusan sejak Selasa lalu.
Bagaimanapun, pejuang Jihad Islam yang juga kumpulan bersenjata kedua terbesar di Gaza selepas Hamas, mengekalkan serangan roket ke atas Israel.
"Kami tidak akan berundur dan pembunuhan ini hanya akan menjadikan kami lebih kuat. Dendam kami berterusan," katanya dalam satu kenyataan.
Beratus-ratus roket dilancarkan dengan amaran melalui siren sejauh utara Tel Aviv dibuat bagi memberi amaran kepada penduduk supaya mencari perlindungan.
Menurut jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, berkata kira-kira 1.5 juta rakyat Israel, iaitu 16 peratus daripada penduduk, diarahkan berpindah ke tempat perlindungan.
Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, berkata lebih 400 roket dilancarkan dari Gaza, manakala Jihad Islam menegaskan mereka bersama rakyat Palestin 'sesekali tidak akan menyerah kalah' biar apa pun berlaku.
Menurut tentera Israel, pemintas peluru berpandu Iron Dome dan sistem pertahanan udaranya, David Sling digunakan bagi menembak jatuh 96 peratus roket dilancarkan dari Gaza, yang memusnahkan sebuah bangunan kediaman di Rehovot semalam.
Pakar perubatan berkata seorang lelaki warga emas terbunuh, iaitu individu pertama terbunuh di Israel dalam pusingan terbaru pertempuran Israel-Palestin, manakala lima orang lagi dilaporkan tercedera.
Jihad Islam menolak sama sekali kemungkinan hidup bersama penduduk Israel di bumi Palestin dan menuntut Israel menghentikan segera serangan menyasarkan pemimpinnya, namun ditolak regim Zionis itu.
Sebaliknya, Menteri Luar Israel, Eli Cohen, memberitahu rangkaian berita Channel 12 TV bahawa pihaknya akan memulakan 'dasar penghapusan besar-besaran' dan sekiranya ada rundingan mengenai gencatan senjata, ia mestilah tanpa pra syarat.
Selepas lebih setahun keganasan Israel-Palestin yang mengorbankan lebih 140 rakyat Palestin dan sekurang-kurangnya 19 warga Israel serta warga asing berlarutan sejak Januari, peningkatan terbaru itu menimbulkan gesaan antarabangsa supaya gencatan senjata dilaksanakan segera.
Bagaimanapun, Kaherah, yang menjadi tuan rumah bagi rundingan membabitkan pegawai kanan Jihad Islam, Mohammad al-Hindi, mengambil pendekatan berhati-hati mengenai kemungkinan itu.
"Usaha Mesir untuk meredakan keadaan dan meneruskan proses politik masih belum membuahkan hasil," kata Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry, kepada pemberita.
Ketika satu pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Jordan, Perancis dan Jerman di Berlin, Shoukry menggesa 'negara yang memperjuangkan keamanan untuk campur tangan dan menghentikan serangan berkenaan'.
Beliau turut berkata, Israel mesti 'menghentikan langkah sebelah pihak yang bertujuan memusnahkan masa depan negara Palestin'. - REUTERS