Khamis, 11 Mei 2023 | 12:58pm
Pekerja di lapangan adalah antara golongan berisiko tinggi mengalami strok haba, menurut pembentangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada persidangan ‘Tekanan Haba dalam Pekerjaan’ di Qatar. - Foto AFP
Pekerja di lapangan adalah antara golongan berisiko tinggi mengalami strok haba, menurut pembentangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada persidangan ‘Tekanan Haba dalam Pekerjaan’ di Qatar. - Foto AFP

Perubahan iklim tingkat risiko strok haba kepada pekerja - ILO

DOHA: Peningkatan suhu global berisiko menyebabkan lonjakan kepada kes kematian atau hilang upaya dalam kalangan pekerja berikutan terpaksa menjalankan tugas dalam keadaan panas melampau.

Bahaya mengenai strok haba terutama bagi pekerja di lapangan, menjadi antara isu utama dalam persidangan antarabangsa 'Tekanan Haba dalam Pekerjaan' di Qatar ketika suhu pada musim bunga mencecah 40 darjah Celsius, kerana berisiko membawa maut.

Ia turut mendedahkan bahawa puluhan ribu pekerja di seluruh dunia maut akibat masalah buah pinggang kronik dan penyakit lain yang dikaitkan dengan gelombang haba melampau sejak beberapa dekad kebelakangan ini.

"Sains mendedahkan bahawa semua negara boleh memainkan lebih banyak peranan," kata Ketua Serantau Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) untuk negara Arab, Ruba Jaradat.

Persidangan kali ini memberi tumpuan kepada perubahan iklim dan bagaimana peningkatan suhu mengancam kesihatan pekerja serta kaedah bagi majikan bersama pekerja menangani masalah itu.

Pada kejohanan Piala Dunia yang berlangsung di Qatar tahun lalu, tumpuan diberikan kepada pekerja yang bertugas dalam suhu boleh mencapai melebihi 50 darjah Celsius ketika puncak musim panas di negara di seluruh Teluk.

Sejak 2021, Qatar melarang pekerja bekerja di luar antara 10 pagi dan 3.30 petang dari 1 Jun hingga 15 September.

Pembaharuan berkenaan dipuji oleh agensi buruh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), walaupun beberapa pakar berpandangan, lebih banyak langkah boleh dilaksanakan.

Tiada piawaian antarabangsa untuk suhu ketika bekerja di luar, tetapi perubahan iklim memaksa penelitian baharu dilaksanakan.

"Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) menjanjikan peraturan baharu pada 2021 selepas gelombang panas yang membawa maut dan Rumah Putih berkata 'panas adalah pembunuh berkaitan cuaca terkemuka di negara ini'.

"Bagaimanapun, tiada apa yang dihasilkan," kata Jaradat.

Eropah turut menyaksikan gelombang haba yang dahsyat.

Selain Qatar, Cyprus adalah salah satu negara yang jarang membuat penetapan waktu kerja terhad, waktu rehat tambahan dan pakaian pelindung haba apabila suhu meningkat melebihi 35 darjah Celsius.

Menurut penyelidik, panas melampau dan sinaran matahari yang mengakibatkan strok haba, menyebabkan penyakit buah pinggang, jantung dan paru-paru serta meningkatkan kadar kanser kulit.

Ketua La Isla Network, Justin Glaser iaitu sebuah kumpulan kesihatan pekerjaan, berkata lebih 20,000 pekerja sektor penghasilan gula di Amerika Tengah meninggal dunia dalam satu dekad akibat penyakit buah pinggang kronik.

Beliau berkata, kira-kira 25,000 kematian akibat penyakit buah pinggang turut direkodkan dalam kalangan pekerja di lapangan di Sri Lanka.

Pada persidangan itu, turut dimaklumkan sekitar satu bilion pekerja ladang dan puluhan juta lagi dalam sektor pembinaan dan industri luar lain berada di barisan hadapan menghadapi risiko gelombang haba.

Ini termasuk petugas penyelamat di kolam renang, tukang kebun dan pekerja penghantaran pos. - AFP

Berita Harian X