Khamis, 11 Mei 2023 | 11:52am
Kepulan asap dan api menjulang dari bangunan terbakar di Bandar Gaza selepas serangan Israel. - Foto AFP
Kepulan asap dan api menjulang dari bangunan terbakar di Bandar Gaza selepas serangan Israel. - Foto AFP

Israel, Palestin kembali berbalas serangan di Gaza

BANDAR GAZA: Kumpulan pejuang Jihad Islam Palestin hari ini mengumumkan kematian salah seorang pemimpin tenteranya dalam serangan sebelum subuh yang dilancarkan tentera Israel di Semenanjung Gaza.

"Ali Ghali... komander unit pelancar roket... dibunuh di selatan Semenanjung Gaza bersama-sama syahid yang lain," kata cabang bersenjata kumpulan itu, Briged Al-Quds dalam kenyataan itu.

Tentera Israel mengesahkan bahawa ia menyasarkan Ghali dalam serangan itu.

Tentera Israel dan pejuang Palestin di Gaza berbalas tembakan rentas sempadan besar-besaran semalaman, dengan 22 orang rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh dua hari, di tengah peningkatan keganasan terburuk dalam tempoh beberapa bulan.

Siren di kawasan Tel Aviv dan selatan Israel memberi amaran mengenai tembakan roket, dengan seorang wartawan AFP melihat sendiri pelancarannya dari Gaza.

Pada masa sama, pegawai Israel berkata Mesir sedang mengusahakan kemungkinan gencatan senjata dengan pejuang Jihad Islam.

Asap hitam berkepul dari kawasan pesisir pantai yang padat penduduk selepas Israel mengumumkan ia menyasarkan tapak pelancaran roket pejuang Jihad Islam.

Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Shifa selepas serangan udara Israel terhadap Gaza. - Foto REUTERS
Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Shifa selepas serangan udara Israel terhadap Gaza. - Foto REUTERS

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, memberitahu lebih 400 roket dilancarkan dari Gaza lewat Rabu, sementara pejuang Jihad Islam berkata serangan di pihak Palestin akan diteruskan.

Pegawai Israel berkata, sebuah rumah dan kereta terkena roket di bandar Ashkelon dan Sderot di selatan Israel, dengan tentera mengumumkan beberapa siri serangan baharu ke atas Semenanjung Gaza yang dikenakan sekatan.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, tujuh orang terbunuh, sehari selepas serangan Israel ke atas wilayah Palestin yang meragut 15 nyawa.

Kepulan asap menjulang ke ruang udara di Gaza selepas serangan Israel. - Foto REUTERS
Kepulan asap menjulang ke ruang udara di Gaza selepas serangan Israel. - Foto REUTERS

Menurut kumpulan itu, empat daripada individu yang terbunuh semalam adalah pejuang Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin (PFLP). - AFP

Keganasan terbaru itu menyusuli serangan semalam di Gaza yang mengorbankan tiga komander kanan Jihad Islam dan 12 yang lain termasuk empat kanak-kanak, Menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Menteri Luar Israel, Eli Cohen, memberitahu stesen penyiaran 11 lewat semalam bahawa Jihad Islam 'merayu gencatan senjata diisytiharkan' manakala Jihad Islam berikrar akan menentang Israel habis-habisan. - AFP

Berita Harian X