AMMAN: Jordan melancarkan serangan udara di selatan Syria, semalam, ke atas sasaran membabitkan sebuah premis memproses dadah dan membunuh suspek yang disyaki mendalangi penyeludupan besar-besaran bahan terlarang itu merentasi dua negara berkenaan, dakwa sumber tempatan serta perisikan.
Sumber mendakwa, satu serangan itu mengenai sebuah premis memproses dadah yang sudah ditinggalkan di wilayah Deraa.
Satu lagi serangan pula didakwa dilancarkan di perkampungan Shaab di sebelah wilayah Sweida, berhampiran sempadan Jordan, sehingga meragut nyawa 'raja dadah' Marie al-Ramthan dan keluarganya yang berada di kediaman mereka ketika itu.
"Kedua-dua kediaman serta premis itu musnah," kata penyelidik Syria mengenai penyeludupan dadah, Ryan Marouf.
Menurut sumber perisikan wilayah dan Jordan, Ramthan yang disyaki pengedar dadah utama dari selatan Syria, didakwa telah merekrut ratusan tenaga Badwi.
Sumber perundangan pula memaklumkan, lelaki itu telah dihukum mati secara absentia oleh mahkamah Jordan atas pertuduhan menyeludup dadah.
Dua perisik wilayah serta seorang sumber diplomatik Barat yang menjejaki situasi berkenaan di selatan Syria, mendakwa serangan dilancarkan pesawat perang Jordan mengenai dua sasaran berkait dadah itu. Ia merupakan serangan yang jarang dilancarkan ke dalam kawasan Syria sejak konflik itu tercetus lebih sedekad.
Bagaimanapun, Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi, enggan mengesahkan sama ada negaranya telah melancarkan serangan berkenaan.
"Apabila kami mengambil langkah untuk melindungi keselamatan negara atau berdepan sebarang ancaman, kami akan mengumumkannya pada masa yang sesuai," katanya ketika ditanya pada sidang media mengenai perkara itu.
Kejadian itu menyusul beberapa hari selepas Safadi memberi amaran akan melancarkan serangan di dalam Syria sekiranya Damsyik gagal mengekang penyeludupan terbabit.
Safadi dipetik menegaskan, perang dadah itu bukan hanya mengancam keselamatan Jordan tetapi juga negara-negara Teluk.
Pegawai Jordan dilaporkan berkata, kebimbangan mereka berhubung peningkatan kegiatan penyeludupan dadah, sudah dibangkitkan pada mesyuarat keselamatan dengan pihak berkuasa Syria sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Mereka mendakwa pihak berkuasa Syria berjanji tetapi setakat ini, melihat seolah-olah tiada sebarang usaha sebenar untuk membanteras kegiatan itu. - REUTERS