SHENZHEN: Walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan penamatan status kecemasan global bagi COVID-19, China terus menganggap virus itu kekal berbahaya dan akan terus memantau sambil meningkatkan program vaksinasi dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi, kata seorang pegawai kesihatan republik itu.
WHO menamatkan tahap amaran tertinggi untuk COVID-19 pada Jumaat, lebih tiga tahun selepas pengisytiharan dengan menegaskan dunia harus menguruskan virus itu bersama-sama dengan penyakit berjangkit lain.
Ketua panel pakar tindak balas COVID-19 China di bawah Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, Liang Wannian, berkata penamatan status amaran tidak bermakna COVID-19 akan hilang, namun impaknya boleh dikawal dengan berkesan.
Beliau berkata China akan terus memantau mutasi virus, mengukuhkan vaksinasi dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi dan utama, dan melihat untuk meningkatkan keupayaan rawatan COVID-19.
China mengekalkan toleransi sifar untuk COVID-19 lama selepas kebanyakan negara mula hidup dengan virus itu, dan hanya mula meninggalkan dasar sekatannya pada akhir 2022.
Pada Februari lalu, pemimpin tertinggi China mengisytiharkan 'kemenangan' terhadap COVID-19 dan mendakwa kadar kematian direkodkan negara itu sebagai terendah di dunia, walaupun pakar mempersoalkan data Beijing.
Pengumuman WHO dibuat selepas jawatankuasa kecemasan bebasnya mengenai krisis COVID-19 bersetuju ia tidak lagi memenuhi tahap amaran tertinggi organisasi itu dan menasihatkan bahawa sudah tiba masanya untuk beralih kepada pengurusan jangka panjang pandemik COVID-19.
Tetapi bahaya itu belum berakhir, menurut Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang menganggarkan COVID-19 mengorbankan sekurang-kurangnya 20 juta orang - kira-kira tiga kali ganda daripada hampir tujuh juta kematian yang direkodkan secara rasmi.
"Virus ini ada di sini untuk kekal. Ia masih membunuh, dan ia masih berubah," katanya.
Agensi kesihatan PBB pertama kali mengisytiharkan status kecemasan kesihatan awam kebimbangan antarabangsa (PHEIC) berhubung krisis itu pada 30 Januari 2020.
Pengisytiharan itu dibuat beberapa minggu selepas virus misteri itu mula dikesan di China dengan kurang 100 kes dan tiada kematian dilaporkan di luar negara itu.
Bagaimanapun hanya selepas Tedros menyifatkan keadaan COVID-19 yang semakin teruk sebagai pandemik pada 11 Mac 2020, barulah banyak negara sedar mengenai bahaya itu.
Pada masa itu, virus SARS CoV-2 yang menyebabkan penyakit itu mula menyerang maut di seluruh dunia.
Walaupun kematian COVID-19 di seluruh dunia menjunam 95 peratus sejak Januari, penyakit itu kekal sebagai pembunuh utama. - AGENSI