Sabtu, 6 Mei 2023 | 4:32pm
Tentera Israel mendakwa kedua-dua lelaki berkenaan terbabit dalam serangan tembakan di Avnei Heftz yang mengakibatkan seorang warga Israel cedera pada 2 Mei lalu. - Foto AFP
Tentera Israel mendakwa kedua-dua lelaki berkenaan terbabit dalam serangan tembakan di Avnei Heftz yang mengakibatkan seorang warga Israel cedera pada 2 Mei lalu. - Foto AFP

Tentera Israel tembak mati 2 rakyat Palestin

RAMALLAH: Dua rakyat Palestin maut selepas ditembak oleh anggota tentera Israel di Tebing Barat hari ini, dengan kejadian itu didakwa menyasarkan pelaku 'insiden tembakan'.

Kementerian Kesihatan Palestin dalam kenyataan berkata, jenazah dua pejuang yang ditembak tentera Israel itu tiba di hospital Thabet di bandar Tulkarm.

Sementara itu, tentera Israel mendakwa kedua-dua lelaki berkenaan terbabit dalam serangan tembakan di Avnei Heftz yang mengakibatkan seorang warga Israel cedera pada 2 Mei lalu.

"Dua individu bersenjata dibunuh selepas cuba melarikan diri dari lokasi kejadian selepas ditahan ketika serbuan.

"Kita turut merampas dua raifal M16, jaket askar dan kelopak peluru," katanya dalam kenyataan.

Avnei Heftz ialah kawasan penempatan di Tebing Barat yang dipertikaikan Israel, biarpun ia diisytiharkan haram mengikut undang-undang antarabangsa.

Briged Tulkarm, kumpulan pejuang tempatan dikaitkan dengan Briged Syahid Al-Aqsa, sayap bersenjata parti Fatah yang memerintah, mendakwa kedua-dua lelaki itu sebagai ahli, selain menamakan mereka sebagai Hamza Khrewish dan Samer al-Shafei.

Keganasan terbaru itu sekali gus menjadikan jumlah warga Palestin terkorban dalam konflik Israel-Palestin meningkat kepada 108 orang setakat tahun ini.

Seramai 19 warga Israel, selain masing-masing seorang rakyat Ukraine dan Itali maut dalam tempoh sama, menurut kiraan AFP berdasarkan sumber rasmi daripada kedua-dua pihak.

Jumlah itu termasuk pejuang, orang awam serta di pihak Israel, termasuk tiga anggota minoriti Arab. - AFP

Berita Harian X