Sabtu, 6 Mei 2023 | 8:17am
Kakitangan wanita PBB warga Afghanistan dilarang bekerja untuk agensi antarabangsa itu. - Foto fail REUTERS
Kakitangan wanita PBB warga Afghanistan dilarang bekerja untuk agensi antarabangsa itu. - Foto fail REUTERS

PBB kekalkan kakitangan wanita Afghanistan bekerja dari rumah

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat, menegaskan pihaknya akan terus memastikan kakitangan wanita mereka yang juga warga Afghanistan bekerja dari rumah.

Tindakan itu dibuat selepas pemerintah negara terbabit, Taliban menguatkuasakan larangan ke atas wanita Afghanistan yang bekerja untuk agensi antarabangsa berkenaan, bulan lalu.

Timbalan Jurucakap PBB, Farhan Haq, berkata pertubuhan itu mempunyai kira-kira 3,300 kakitangan membabitkan warga Afghanistan, yang mana 400 daripadanya adalah wanita, namun 600 pekerja dari negara lain tidak terjejas dengan larangan berkenaan.

Beliau berkata, PBB akan mengkaji semula operasinya dan mengekalkan kakitangan wanita membabitkan warga Afghanistan di rumah.

"Tiada perubahan berhubung gerak kerja kami di lapangan.

"Kami sedang berusaha untuk membuat keputusan mengenai kaedah kerja yang sesuai.

"Jelas sekali, kami menghadapi cabaran kerana adanya keperluan yang tinggi bagi membantu rakyat Afghanistan dan kami berhasrat untuk memenuhinya, namun pada masa sama, operasi kami terhalang," katanya kepada pemberita di New York.

Sebelum ini, wakil tertinggi pasukan bantuan dari Amerika Syarikat (AS) mengingatkan bahawa rakyat Afghanistan sedang berada dalam tahun yang sangat sukar susulan tindakan tegas Taliban ke atas golongan wanita.

Ia menyebabkan pasukan bantuan dan pihak penderma, berdepan kesukaran sekali gus dikhuatiri akan menyebabkan lebih banyak krisis dan kurangnya pembiayaan secara keseluruhan.

Pada masa sama, Haq berkata, usaha bantuan diteruskan dalam aspek membabitkan kesihatan dan pendidikan di mana PBB mendapat beberapa sedikit pengecualian membabitkan larangan ke atas wanita Afghanistan.

Beliau bagaimanapun menjangkakan beberapa agensi PBB lain mungkin mengambil pendekatan berbeza.

"Saya percaya setiap agensi berlainan mempunyai kaedah tersendiri mengenai pemberian bantuan di mana mereka mempunyai cara yang berbeza untuk mengendalikan situasi seperti yang saya sifatkan," katanya.

Taliban merampas kuasa pentadbiran Afghanistan pada Ogos 2021 ketika tentera pimpinan AS berundur selepas 20 tahun perang.

Sejak itu, kerajaan Taliban mengetatkan kawalan terhadap akses wanita kepada kehidupan awam, termasuk menyekat golongan berkenaan daripada mengikuti pengajian di universiti dan menutup sekolah menengah perempuan.

Menurut Taliban sebelum ini, pihaknya menghormati hak wanita mengikut tafsiran ketat undang-undang Islam.

Seorang pegawai Taliban pernah dilaporkan berkata, keputusan mengenai pembabitan wanita sebagai kakitangan bantuan adalah isu dalaman.

Pelapor Khas PBB mengenai hak asasi manusia di Afghanistan dan pengerusi kumpulan kerja mengenai diskriminasi terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan diberi mandat oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB bagi melawat Afghanistan antara 27 April hingga Khamis lalu.

"Kami amat bimbang terhadap penganiayaan jantina, pencabulan hak asasi manusia yang sistematik dan serius serta jenayah terhadap kemanusiaan di Afghanistan," kata mereka dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat. - REUTERS.

Berita Harian X