Sabtu, 29 April 2023 | 8:18pm
Wanita Afghanistan membawa sepanduk sambil melaungkan slogan ketika tunjuk perasaan membantah tindakan kerajaan Taliban menindas wanita, di Kabul, Afghanistan. - Foto AFP
Wanita Afghanistan membawa sepanduk sambil melaungkan slogan ketika tunjuk perasaan membantah tindakan kerajaan Taliban menindas wanita, di Kabul, Afghanistan. - Foto AFP

Wanita Afghanistan gesa kerajaan asing jangan iktiraf Taliban

KABUL: Wanita Afghanistan mengadakan protes di Kabul hari ini tanpa mempedulikan tindakan pihak berkuasa, bagi menggesa kerajaan asing jangan iktiraf kerajaan Taliban, menjelang sidang kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu depan.

Sekumpulan kecil 25 wanita berarak di kawasan perumahan di ibu negara Afghanistan, sebelum sidang kemuncak di Doha di mana PBB memaklumkan akan membincangkan 'langkah terbaik ke hadapan' bagi negara itu.

Antara lain, wanita berkenaan melaungkan slogan 'Sedari tindakan Taliban mencabuli hak wanita', 'Penduduk Afghanistan tebusan Taliban' dan "Kami akan berjuang, kami akan mati, kami akan dapatkan hak kami'.

Sepanjang demonstrasi tidak sampai 10 minit itu berlalu tanpa sebarang campur tangan pihak berkuasa.

Setakat ini, tiada negara mengiktiraf kerajaan Taliban sejak mereka kembali berkuasa selepas tentera Amerika Syarikat (AS) menarik diri dari Afghanistan pada 2021.

Kerajaan Taliban sebelum ini, yang memerintah dari 1996 hingga 2001, hanya diiktiraf oleh Pakistan, Emiriah Aran Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.

Diplomat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi bantuan kini berbelah bahagi mengenai isu berkenaan.

Ada pula yang berpendapat bahawa berbincang mengenai isu itu secara tidak langsung memberi kesahihan terhadap pemerintahan Taliban yang melakukan pelbagai penindasan terhadap wanita.

PBB memaklumkan pihak berkuasa 'de facto' Afghanistan tidak dijemput ke sidang kemuncak di Doha. - AFP

Berita Harian X