Rabu, 26 April 2023 | 10:25pm
Kes pertama cacar monyet atau mpox di Pakistan disahkan oleh Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) di ibu negara Islamabad. - Foto AGENSI
Kes pertama cacar monyet atau mpox di Pakistan disahkan oleh Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) di ibu negara Islamabad. - Foto AGENSI

Pakistan sahkan kes pertama mpox

KARACHI: Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) di ibu negara Islamabad, mengesahkan kes pertama cacar monyet atau mpox di Pakistan.

Seorang pengembara yang baru tiba di negara itu disahkan positif dan sudah diasingkan di sebuah hospital di ibu negara bersama individu lain yang sedang diuji, kata kenyataan akhbar kementerian kesihatan.

Tiada bukti penularan tempatan penyakit virus itu di Pakistan, tambah NIH.

Mpox, yang merebak melalui hubungan rapat dan cenderung menyebabkan simptom seperti selesema dan lepuhan kulit yang dipenuhi nanah diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Julai 2022.

Organisasi itu mengekalkan amarannya pada November.

Pada 28 November, WHO menamakan penyakit itu mpox untuk menggantikan istilah lama monkeypox, memetik kebimbangan stigma dan perkauman yang dikaitkan dengan nama itu.

Di Pakistan, NIH, jabatan kesihatan wilayah, perkhidmatan kesihatan sempadan dan pihak berkuasa kesihatan daerah dinasihatkan untuk memastikan pengawasan melalui diagnostik makmal, pengesanan kenalan, pengenalan pantas kes yang disyaki, dan menyediakan penjagaan dan mengasingkan kes untuk mencegah penularan.

Sejak Mei 2022, sebanyak 22 sampel diuji daripada kes yang diperiksa dari bahagian lain di negara ini.

Mpox pada mulanya dipanggil cacar monyet kerana virus itu pada asalnya dikenal pasti pada monyet yang disimpan untuk penyelidikan di Denmark pada 1958, tetapi ia turut ditemui pada beberapa haiwan, paling kerap pada tikus.

Penyakit ini pertama kali ditemui pada manusia pada 1970 di Republik Demokratik Congo, dengan penyebaran dalam kalangan manusia sejak itu terhad kepada negara Afrika Barat dan Tengah tertentu di mana ia adalah endemik. - REUTERS

Berita Harian X