MAKKAH: Jutaan umat Islam menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjidil Haram bagi memuliakan malam ke-27 dan menyambut 10 hari terakhir bulan Ramadan.
Sehubungan itu, Ketua Presiden bagi Hal Ehwal Dua Masjid Suci menggerakkan sumber manusia dan mekanikal untuk melayani pengunjung Masjidil Haram.
Sistem perkhidmatan bersepadu beroperasi sejak awal pagi untuk memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah selain menaikkan semangat kerohanian mereka.
Ini termasuk menempatkan 4,000 pekerja di seluruh Masjidil Haram dan melakukan tugas membersih serta mencuci halaman masjid sepuluh kali sepanjang hari.
Lebih 80,000 liter pembasmi kuman dan 1,600 pewangi digunakan bagi mengharumkan dan mensteril halaman Masjidil Haram oleh lebih daripada 70 pasukan lapangan.
Bagi memenuhi keperluan warga emas dan golongan berkeperluan khas, turut disediakan sebanyak 5,000 kenderaan biasa dan 3,000 kenderaan elektrik selain 200 tangga elektrik, serta 14 eskalator.
Di Madinah, solat Isyak dan Tarawih dilaksanakan di Masjid Nabawi pada malam 27 Ramadan dengan penuh kerohanian, diselubungi suasana dilindungi, selamat, tenang dan aman.
Presidensi bersama penyelarasan dengan pelbagai jabatan dan pihak berkuasa berkaitan, mengambil langkah penuh untuk mempersiapkan Masjid Nabawi dan membuat persediaan yang diperlukan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengunjung.
Agensi Presidensi berdedikasi untuk membangunkan perkhidmatannya dan memberikan pengalaman terbaik kepada jemaah berikutan peningkatan jemaah yang mengunjungi Masjidil Haram.
Semalam, agensi wanita di Masjidil Haram menyediakan tempat solat, memperuntukkan laluan, mengatur jabatan dan unit serta mempergiatkan usaha memastikan pengunjung wanita dapat melakukan ibadah dengan mudah lagi tenang dalam persekitaran yang selamat.
Agensi Penolong Perkhidmatan Wanita dan Hal Ehwal Lapangan sudah melatih pekerja wanita untuk menerima jemaah dan menyelia persiapan untuk semua tapak. - AGENSI