Sabtu, 15 April 2023 | 3:06pm
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga pendaki warga Nepal yang dilaporkan hilang ketika menyeberangi Air Terjun Khumbu di Everest, ditamatkan hari ini. - Foto AGENSI
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga pendaki warga Nepal yang dilaporkan hilang ketika menyeberangi Air Terjun Khumbu di Everest, ditamatkan hari ini. - Foto AGENSI

Misi menyelamat 3 pendaki hilang di Everest ditamatkan

KATHMANDU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga pendaki warga Nepal yang dilaporkan hilang ketika menyeberangi Air Terjun Khumbu di Everest, ditamatkan hari ini.

Ketiga-tiga pendaki terbabit menyeberangi air terjun berbahaya itu Rabu lalu, sebagai sebahagian daripada misi dan hilang apabila bongkah ais glasier jatuh serta menghanyutkan mereka ke dalam jurang glasier yang dalam.

Pegawai Bahagian Pelancongan, Bigyan Koirala antara lain menyifatkan kejadian itu sebagai kes kematian pertama direkodkan bagi musim pendakian kali ini.

"Misi SAR ditamatkan selepas beberapa kali percubaan. Mereka terperangkap dalam jurang glasier sangat dalam dan mustahil untuk mengeluarkan mayat mereka," katanya.

Air Terjun Khumbu ialah hamparan ais glasier yang berbahaya dan sentiasa berubah-ubah serta memerlukan pendaki untuk melepasi kawasan celah jurang glasier.

Semua pendaki perlu melalui kawasan berkenaan untuk menuju ke puncak gunung pada ketinggian 8,849 meter.

Sementara itu, syarikat ekspedisi Imagine Nepal, Mingma Gyalje Sherpa menerusi muat naik di Instagram semalam, berkata pihaknya berjaya mengesan kedudukan mangsa selepas meninjau semula kawasan berkenaan, namun gagal menyelamatkan mereka.

"Kami mengucapkan takziah kepada waris mangsa, selain bersedih di atas kehilangan mereka yang mendedikasikan kehidupan untuk membantu pendaki," katanya.

Penunjuk arah Nepal yang kebiasannya daripada etnik Sherpa dari lembah sekitar Everest, dianggap sebagai tulang belakang industri pendakian di Himalaya.

Mereka menyumbang kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan kes kematian di Everest, menjadikan risiko diambil dalam perkhidmatan ratusan penunjuk arah untuk ke puncak tertinggi di dunia.

Setiap ekspedisi, mereka perlu membuat beberapa perjalanan berbahaya untuk mengangkut khemah, makanan dan botol oksigen ke kem di altitud tinggi.

Pada 2014, 16 pemandu arah warga Nepal maut akibat runtuhan salji, ais dan batu besar di atas air terjun, sekali gus menjadi antara kemalangan paling ngeri di Himalaya.

Nepal memiliki lapan daripada 10 puncak tertinggi di dunia dan mengalu-alukan ratusan pengembara pada setiap musim pendakian.

Kerajaan sudah mengeluarkan lebih 500 permit pendakian bagu pelbagai gunung Himalaya, termasuk 243 untuk Everest, musim ini. - AFP

Berita Harian X