Khamis, 13 April 2023 | 12:49pm
FOTO REUTERS
FOTO REUTERS

Pesawat, kapal perang China didakwa masih beroperasi di sekitar Taiwan

TAIPEI: Kementerian Pertahanan Taiwan hari ini mendakwa pesawat dan kapal perang China masih beroperasi di sekitar pulau itu, beberapa hari selepas Beijing mengumumkan latihan ketenteraan dilaksanakannya telah tamat secara rasmi.

Kementerian itu mendakwa, sebanyak 26 pesawat dan tujuh kapal dikesan dalam tempoh 24 jam lalu, setakat jam 6 pagi.

Sebanyak 14 pesawat pejuang China dikesan melintasi garis tengah Selat Taiwan dan memasuki Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) Taiwan, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Kementerian berkenaan mendakwa lagi, 35 pesawat dan lapan kapal China turut dikesan pada hari sebelumnya.

China mengadakan latihan ketenteraan selama tiga hari sebagai tindak balas terhadap pertemuan Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen, dengan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Kevin McCarthy di California, minggu lalu.

Beijing sebelum ini memaklumkan bahawa latihan ketenteraannya telah berakhir pada Isnin lalu. – BERNAMA-dpa

Berita Harian X