RAMALLAH: Israel melarang kunjungan orang bukan Islam ke perkarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis sehingga akhir Ramadan.
Tindakan itu susulan kemarahan selepas pasukan keselamatan Israel membenarkan kira-kira 800 penganut Yahudi untuk bersembahyang di perkarangan masjid itu pada pagi semalam.
Upacara sempena hari keenam cuti Paskah Yahudi itu melanggar perjanjian lama melarang kegiatan keagamaan sedemikian selama 10 hari terakhir bulan suci umat Islam.
Bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada gerakan peneroka radikal Israel yang semakin diperkasakan akan mematuhi dasar baharu berhubung Masjid Al-Aqsa, memandangkan Israel kini diterajui kerajaan pelampau berhaluan kanan.
Menteri polis sayap kanan, Itamar Ben-Gvir, yang terkenal dengan rekod jenayah kerana menyokong keganasan dan hasutan perkauman, mengecam larangan itu.
"Apabila 'keganasan' menyerang kita, kita mesti menyerang balik dengan kekuatan yang hebat, bukan menyerah kepada kehendaknya," katanya.
Sheikh Ekrima Said Sabri, bekas mufti besar Baitulmaqdis dan Palestin, yang kini menjadi pendakwah di Masjid Al-Aqsa, memberitahu Arab News bahawa Israel mahu membuktikan bahawa merekalah yang memutuskan apa boleh dan tidak boleh berlaku di Masjid Al-Aqsa, suatu pelanggaran dan provokasi melampau mencabar umat Islam.
Sementara itu, keganasan Israel di Tebing Barat terus memuncak sejak tragedi semalam, di mana tentera Israel membunuh dua rakyat Palestin dan mencederakan satu pertiga penduduk di kampung Deir Al-Hatab, timur Nablus, semasa serangan hendap berhampiran penempatan Elon Moreh.
Sumber Palestin berkata dua yang maut, Saud Al-Titi dan Mohammed Abu Dira, adalah bekas banduan dan anggota Briged Syahid Al-Aqsa, sayap tentera parti Fatah diterajui Presiden Mahmoud Abbas. - AGENSI