Selasa, 11 April 2023 | 11:10pm
Golongan wanita kini tidak dibenarkan untuk bekerja dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Foto AGENSI
Golongan wanita kini tidak dibenarkan untuk bekerja dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Foto AGENSI

Larangan wanita bekerja, PBB dipaksa buat 'pilihan mengecewakan'

KABUL: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terpaksa membuat 'pilihan yang mengecewakan' sama ada meneruskan operasi di Afghanistan, susulan kerajaan Taliban melarang wanita bekerja untuk pertubuhan itu.

Di bawah syarat ketat pihak berkuasa Taliban sejak rampasan kuasanya, kerajaan Afghanistan mengenakan sekatan ke atas kaum wanitanya dengan melarang mereka mendapat pendidikan tinggi serta menghalang bekerja dalam sektor kerajaan.

Pada Disember lalu, mereka melarang wanita Afghanistan bekerja untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sama ada di dalam atau luar negara dan kini larangan itu diperluaskan ke pejabat PBB seluruh negara.

PBB dalam satu kenyataan hari ini berkata, larangan itu melanggar undang-undang antarabangsa termasuk piagam PBB dan disebabkan itu, pertubuhan berkenaan tidak dapat mematuhinya.

Melalui larangan itu, pihak berkuasa Taliban memaksa PBB untuk membuat pilihan yang mengecewakan sama ada kekal dan memberikan sokongan kepada rakyat Afghanistan atau berpegang pada prinsip yang ditetapkan.

Ketua misi wanita PBB, Roza Otunbayeva, berkata pihaknya sudah memulakan 'semakan operasi' bagi memutuskan langkah seterusnya.

"Adalah jelas bahawa sebarang kesan negatif daripada krisis ini kepada rakyat Afghanistan akan menjadi tanggungjawab pihak berkuasa," katanya.

Badan dunia itu menggajikan kira-kira 400 wanita Afghanistan di negara itu.

Penyelaras kemanusiaan PBB di Afghanistan, Ramiz Alakbarov, berkata tiada pihak berkuasa yang boleh memberikan arahan kepada pertubuhan itu berkaitan pengambilan pekerjanya.

Selain melarang wanita bekerja dalam sektor kerajaan, NGO serta PBB, pihak berkuasa itu turut menghalang wanita mendapat pendidikan di sekolah menengah, menghalang mereka melancong tanpa saudara lelaki dan diarah menutup muka dengan burqa ketika di luar rumah.

Mereka juga diharamkan untuk mendapat pendidikan di universiti, tidak dibenarkan memasuki taman, gimnasium atau tempat mandi awam. - AFP

Berita Harian X