Selasa, 11 April 2023 | 7:57am
Sebuah kapal pengawal pantai China belayar menuju ke zon kawasan Taiwan ketika menjalani latihan ketenteraan. - Foto AGENSI
Sebuah kapal pengawal pantai China belayar menuju ke zon kawasan Taiwan ketika menjalani latihan ketenteraan. - Foto AGENSI

China tamatkan latihan ketenteraan di sekitar Taiwan

TAIPEI: China menamatkan latihan ketenteraannya selama tiga hari di sekitar Taiwan semalam, dengan mendakwa sudah menguji keupayaan ketenteraan bersepadu di bawah situasi pertempuran sebenar, selepas menjalankan latihan serangan tepat dan menyekat pulau yang dianggap Beijing sebagai miliknya itu.

Taiwan memberi maklum balas kepada pengumuman Beijing dengan mengatakan negara itu 'tidak akan pernah merehatkan' usahanya untuk mengukuhkan persediaan tempur dan akan memantau rapi pasukan peluru berpandu China serta pergerakan kapal pengangkut pesawat Shandong.

Beijing memulakan latihan pada Sabtu lalu selepas presiden Taiwan, Tsai Ing-wen kembali ke Taipei susulan pertemuan dengan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Kevin McCarthy di Los Angeles.

China tidak pernah terlepas daripada menggunakan kekerasan untuk membawa pulau yang ditadbir secara demokrasi itu di bawah kawalan Beijing.

Kerajaan Taiwan dengan tegas mempertikaikan dakwaan China dan mengecam latihan berkenaan.

Tentera China berkata, ia 'berjaya menyelesaikan' latihan dan 'menguji secara menyeluruh' keupayaan beberapa unit di bawah situasi pertempuran sebenar.

"Tentera berada dalam keadaan bersedia untuk bertempur sepanjang masa dan boleh bertempur pada bila-bila masa, dengan tegas memusnahkan sebarang bentuk pemisahan kemerdekaan Taiwan dan campur tangan asing," kata Komando Timur Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) dalam satu kenyataan.

Televisyen negara China semalam berkata, pesawat, termasuk pengebom H-6 bersenjatakan peluru berpandu hidup dan kapal perang mengadakan latihan untuk 'membentuk situasi sekatan merangkumi pulau berbilang arah'.

Komando Timur berkata, Shandong juga mengambil bahagian dalam rondaan tempur dan ia menunjukkan pesawat pejuang berlepas dari dek kapal pengangkut pesawat.

Taiwan menjejak Shandong sejak minggu lalu di Lautan Pasifik.

Kementerian pertahanan Taiwan, berkata setakat jam 10 pagi Isnin, ia melihat 12 kapal China dan 91 pesawat tentera di sekitar pulau itu, termasuk pesawat pejuang J-15 yang berpangkalan di kapal induk yang diterbangkan dari Shandong. - REUTERS

Berita Harian X