Ahad, 9 April 2023 | 10:00pm
(Gambar fail) Foto hiasan - REUTERS
(Gambar fail) Foto hiasan - REUTERS

Beberapa negeri di India wajibkan pakai pelitup muka

ANKARA: Beberapa negeri di India kini mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam bagi mengekang penularan COVID-19.

Ia berikutan sebahagian kawasan di India melaporkan kes wabak berkenaan kembali melonjak sejak kebelakangan ini.

Agensi Anadolu yang memetik jabatan kesihatan tempatan, melaporkan negeri Haryana di utara India semalam menguatkuasakan perintah mandatori memakai pelitup muka di tempat awam.

Media tempatan pula melaporkan negeri di selatan India, Kerala mewajibkan pemakaian pelitup muka terhadap wanita mengandung, warga emas dan individu yang menghidap penyakit akibat gaya hidup.

Pemakaian pelitup muka turut dijadikan mandatori di bandar kecil Puducherry di Pantai Coromandel.

Hari ini, Kementerian Kesihatan India merekodkan 5,357 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, dengan kes aktif kini mencecah 32,814.

Menteri Kesihatan India, Mansukh Mandaviya, mengadakan perbincangan dengan menteri kesihatan negeri serta pegawai kanan, Jumaat lalu, untuk meneliti situasi lonjakan kes COVID-19 di beberapa negeri.

Negeri terbabit turut diminta untuk melaksanakan latihan simulasi membabitkan semua infrastruktur hospital, esok dan lusa.

India mencatatkan peningkatan berterusan jangkitan COVID-19 dengan purata angka harian melonjak kepada 4,188 kes minggu ini setakat kelmarin, berbanding hanya 571 pada minggu berakhir 17 Mac lalu.

Kementerian Kesihatan India memaklumkan, lapan negeri melaporkan jumlah kes COVID-19 yang tinggi.

Pada 30 Mac lalu, India merekodkan 3,016 kes baharu dalam sehari - angka tertinggi dalam tempoh hampir enam bulan.

Anadolu melaporkan pakar epidemiologi kanan India, Dr Lalit Kant, berkata lonjakan kes di India ketika ini dilihat berkait dengan varian baharu XBB.1.16, ia namun tidak mengakibatkan sakit serius. - BERNAMA-ANADOLU

Berita Harian X