Rabu, 5 April 2023 | 3:18pm
Ing-wen berucap ketika melawat Belize. - Pejabat Presiden Taiwan/via REUTERS
Ing-wen berucap ketika melawat Belize. - Pejabat Presiden Taiwan/via REUTERS

China mula rondaan tentera sekitar Selat Taiwan

BEIJING: China memulakan rondaan tentera sekitar dua kawasan di Selat Taiwan menjelang pertemuan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Kevin McCarthy, dengan Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen, di Los Angeles, menurut Pentadbiran Keselamatan Maritim China di wilayah Fujian, hari ini.

Delegasi Taiwan yang diketuai Ing-wen berlepas untuk lawatan 10 hari ke dua negara di Amerika Tengah pada 28 Mac lalu dan tiba di Guatemala selepas transit di New York, selain melawat Belize, kelmarin.

Hari ini, pemimpin Taiwan itu singgah di Los Angeles dalam perjalanan pulang, dengan media AS melaporkan Ing-wen akan mengadakan pertemuan dengan McCarthy ketika berada di California.

"Operasi rondaan serta pemeriksaan khas bersama bermula, hari ini, di bahagian tengah dan utara Selat Taiwan," kata pentadbiran keselamatan dalam media sosial China WeChat, lapor Sputnik.

"Beijing tegas membantah pertemuan itu kerana ia bercanggah dengan prinsip 'Satu China' dan menjejaskan kedaulatan negara," kata jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning, semalam.

Keadaan tegang di sekitar Taiwan semakin memuncak selepas bekas Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi, berkunjung ke pulau itu pada Ogos 2022.

Beijing mengecam perjalanan Pelosi yang dianggapnya sebagai isyarat sokongan terhadap pemisahan, dan melancarkan latihan ketenteraan berskala besar di sekitar pulau itu.

Walaupun dibantah keras oleh China, lawatan Pelosi mencetuskan gelombang lawatan ahli politik Barat ke Taiwan.

Taiwan ditadbir secara bebas daripada Tanah Besar China sejak 1949. Beijing menganggap pulau itu sebagai wilayahnya, manakala Taiwan - wilayah dengan kerajaan pilihan sendiri - mengekalkan pendirian bahawa ia adalah sebuah negara autonomi tetapi belum mengisytiharkan kemerdekaan.

Beijing menentang sebarang hubungan rasmi negara asing dengan Taipei, dan menganggap kedaulatan China ke atas pulau itu tidak boleh dipertikaikan. – BERNAMA-SPUTNIK

Berita Harian X