BEIJING: China hari ini memberi amaran kepada Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Kevin McCarthy supaya tidak mengulangi 'kesilapan lalu' dengan bertemu Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen.
Jika pertemuan berkenaan diadakan, China menegaskan ia tidak akan membantu dalam usaha mewujudkan keamanan dan kestabilan di rantau itu, sebaliknya hanya menyatukan rakyat China untuk berdepan satu musuh yang sama.
McCarthy yang juga pemimpin AS ketiga paling kanan selepas Presiden dan Naib Presiden, dijadual mengadakan pertemuan dengan Ing-wen di California esok ketika Presiden Taiwan itu singgah di AS, sekali gus mencetus tindak balas China.
China yang menuntut Taiwan sebagai wilayahnya, menjalankan latihan perang di sekitar negara pulau itu Ogos tahun lalu selepas bekas Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi melawat Taipei.
Ing-wen akan melakukan transit di Los Angeles ketika dalam perjalanan pulang ke Taipei, selepas melawat Amerika Tengah. AS menyifatkan persinggahan itu perkara biasa dan China tidak perlu memberi reaksi berlebihan.
Namun, konsulat China di Los Angeles dalam satu kenyataan menegaskan persinggahan itu bukan transit, dan mendakwa Ing-wen terbabit dalam pertukaran lawatan rasmi bagi tujuan politik.
Katanya, pertemuan McCarthy dengan Ing-wen dalam apa jua bentuk akan melukakan perasaan rakyat China, menghantar mesej yang salah kepada kumpulan pemisah Taiwan dan memberi kesan pada asas politik Sino-AS.
"Pertemuan itu tidak kondusif untuk keamanan, kestabilan atau keselamatan serantau, dan ia bukan dalam kepentingan bersama antara rakyat China dan AS," katanya.
Konsulat China itu turut menyifatkan McCarthy mengabaikan pengajaran daripada kesilapan Pelosi, dan berisiko memburukkan hubungan Sino-AS. - REUTERS