BOAO: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyarankan negara berkedudukan lebih kukuh untuk membantu negara rentan terutama yang terpalit masalah hutang.
Ketua Pengarahnya, Kristalina Geogieva, hari ini berkata langkah itu amat mustahak di tengah-tengah kadar faedah yang meningkat dan kejatuhan nilai mata wang.
"Kita amat memerlukan mekanisme global yang lebih pantas lagi cekap untuk menyediakan 'rawatan' hutang kepada negara ini.
"Kejayaan ini akan menghapuskan satu sumber penting berhubung ketidakpastian kepada gambaran global," katanya sambil menambah mekanisme sedemikian bakal memberi manfaat ketara kepada penghutang dan pemiutang.
Geogieva turut mengalu-alukan pembabitan China dalam Rangka Kerja Bersama dan penyertaan dalam rundingan Meja Bulat Hutang Berdaulat Global yang baharu.
Forum Boao dilihat menonjolkan Asia setaraf dengan Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland. Ia berlangsung di Hainan, China sehingga esok.
Mengulas lanjut, Georgieva berkata semua pihak perlu bekerjasama untuk menggiatkan semula perdagangan antarabangsa berlandaskan kesaksamaan supaya lebih ramai orang mendapat manfaat daripada globalisasi termasuk mempelbagaikan rantaian bekalan berdasarkan logik ekonomi.
Memetik penyelidikan dijalankan IMF, beliau berkata dapatan menunjukkan kos jangka panjang perpecahan perdagangan boleh mencecah setinggi tujuh peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global.
Katanya, Asia sebagai rantau bersepadu tinggi akan paling terjejas akibat perpecahan melampau.
"Kerajaan juga perlu melindungi rakyat di negara mereka sendiri yang terjejas teruk sejak tiga tahun lalu (akibat kesan pandemik COVID-19).
"Ini bermakna dasar fiskal menyediakan sokongan disasarkan kepada mereka yang paling memerlukan atau mereka paling terjejas ekoran ketidaktentuan harga makanan atau krisis kos sara hidup," katanya. - REUTERS