Rabu, 29 March 2023 | 2:04pm
Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen melambai dari pintu masuk pesawat di Taoyuan, Taiwan sebelum berlepas ke New York, Amerika Syarikat, bagi memulakan lawatan ke Guatemala dan Belize. - Foto REUTERS
Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen melambai dari pintu masuk pesawat di Taoyuan, Taiwan sebelum berlepas ke New York, Amerika Syarikat, bagi memulakan lawatan ke Guatemala dan Belize. - Foto REUTERS

China ancam bertindak jika Speaker AS lawat Taiwan

BEIJING: China hari ini mengancam untuk bertindak balas sekiranya Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Kevin McCarthy bertemu Presiden Taiwan, Tsai Ing-wei di AS pada bulan depan.

Beijing mendakwa pertemuan itu adalah tindakan yang provokatif selepas berulang kali memberi amaran kepada pegawai AS supaya tidak bertemu Ing-wei.

Ogos tahun lalu, sewaktu Speaker Dewan Perwakilan AS ketika itu, Nancy Pelosi melawat Taipei, China pernah mengadakan latihan ketenteraan di sekitar Taiwan.

Namun, Taiwan menegaskan pihaknya sentiasa mengawasi sebarang pergerakan China apabila Ing-wen berada di luar negara.

Presiden Taiwan itu dijadual berlepas hari ini untuk melakukan perjalanan ke Guatemala dan Belize sebelum transit di New York serta Los Angeles.

Bagaimanapun, tidak dapat disahkan sama ada Ing-wen dijadualkan bertemu dengan McCarthy semasa di California pada akhir perjalanannya.

Sementara itu, Jurucakap China bagi Hal Ehwal Taiwan, Zhu Fenglian, ketika memberitahu pemberita di Beijing, berkata transit Ing-wen di AS bukan sekadar menunggu di lapangan terbang atau hotel sebaliknya untuk beliau bertemu pegawai dan penggubal undang-undang di AS.

"Sekiranya beliau mempunyai hubungan dengan Speaker Dewan Perwakilan AS, ia akan menjadi satu lagi provokasi serius kerana melanggar prinsip satu China.

"Ia memudaratkan kedaulatan China dan integriti wilayah serta akan memusnahkan keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan," katanya.

"Kami tegas menentang hal ini dan pasti akan mengambil langkah untuk melawan dengan tegas," katanya tanpa butiran lanjut.

Sementara itu, AS menjelaskan waktu transit oleh Presiden Taiwan itu adalah rutin dan China tidak seharusnya menggunakan alasan itu untuk mengambil tindakan agresif terhadap Taiwan.

Secara rutinnya, Presiden Taiwan akan melalui AS semasa mengadakan lawatan ke negara sekutu diplomatik di Amerika Latin, Caribbean dan Pasifik.

Walaupun bukan lawatan rasmi, ia sering digunakan oleh kedua-dua pihak untuk mengadakan mesyuarat peringkat tinggi.

Beijing bertegas mengatakan Taiwan adalah milik 'satu China' dan kekal menjadi wilayahnya. Taiwan juga dikatakan tidak mempunyai hak untuk mengadakan sebarang hubungan antara negara.

Pendirian China yang menuntut kedaulatan negara kecil itu ditolak sekeras-kerasnya oleh Taiwan.

Ing-wen berulang kali menegaskan kepada Beijing bahawa hanya rakyat Taiwan boleh menentukan masa depan mereka.

Presiden Taiwan itu dijangka membuat ulasan di lapangan terbang sebelum berlepas ke New York. - REUTERS

Berita Harian X