Rabu, 29 March 2023 | 7:44am
Menteri luar China, Qin Gang. - Foto AP
Menteri luar China, Qin Gang. - Foto AP

China-ASEAN mahu mantapkan kerjasama strategik

BEIJING: China menghargai keanggotaan ASEAN dalam 'Kumpulan Rakan' Inisiatif Pembangunan Global (GDI), serta komited menggalakkan kerjasama saling menguntungkan.

Gandingan kerjasama itu dimeterai di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan Unjuran ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP).

Menteri Luar China, Qin Gang berkata demikian semasa mengadakan pertemuan empat mata dengan Setiausaha Agung ASEAN, Kao Kim Hourn di sini, Isnin lalu.

Qin berkata tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 visi komuniti berkongsi nasib yang lebih rapat antara China dengan ASEAN. Kedua-dua pihak hidup bersama secara damai dan menjadi contoh terbaik dalam hubungan sesama tetangga.

Menurut beliau, China bersedia bersama dengan ASEAN untuk mempertahankan peraturan serantau berdasarkan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

Sementara itu, Kao menyuarakan kesediaan ASEAN untuk mempergiat rundingan mengenai pembinaan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) versi 3.0.

Beliau juga mahu perbincangan berhubung Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan dipercepat demi bersama-sama memelihara kestabilan dan kemakmuran serantau.

- BERNAMA

Berita Harian X