JAKARTA: Anak gunung berapi Krakatoa yang terkenal di Indonesia meletus beberapa kali hari ini, menyebabkan kepulan abu besar menjulang sehingga mencecah 2,500 meter ke langit.
Berdasarkan pihak berkuasa, gunung Anak Krakatoa meletus empat kali dengan yang terbesar disusuli satu lagi yang menyebabkan kepulan abu dan asap menjulang 1,500 m di atas kawahnya.
"Ia sebahagian fasa letusan dikaitkan dengan pembentukan badan baharu untuk gunung berapi itu," kata Oktory Prambada, pegawai di Pusat Volkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi kepada AFP.
Pada 2018, sebahagian kawah runtuh apabila letusan besar menyebabkan ketulan besar gunung berapi itu meluncur ke lautan, mencetuskan tsunami yang mengorbankan lebih 400 orang dan mencederakan ribuan yang lain.
Tiada laporan segera mengenai kecederaan atau kerosakan hari ini.
Prambada berkata, status berjaga-jaga gunung berapi itu kekal pada tahap kedua tertinggi selepas siri letusan itu, dengan pihak berkuasa mengenakan zon pengecualian lima kilometer di sekitar kawah.
Anak Krakatoa, yang terletak di selat memisahkan pulau Jawa dan Sumatera, aktif secara sporadis sejak ia muncul dari laut pada awal abad lalu dalam kaldera yang terbentuk selepas letusan 1883 Gunung Krakatoa.
Bencana itu antara paling mematikan dan paling merosakkan dalam sejarah dengan anggaran 35,000 orang terbunuh.
Indonesia, sebuah negara kepulauan Asia Tenggara, terletak di Lingkaran Api Pasifik, di mana pertemuan plat benua menyebabkan aktiviti gunung berapi dan seismik yang tinggi.
Negara ini mempunyai hampir 130 gunung berapi aktif. - AFP