Isnin, 27 March 2023 | 2:22pm
Speaker Dewan Rendah Parlimen Czech, Marketa Pekarova Adamova (kiri) berjabat tangan dengan Menteri Luar Taiwan, Joseph Wu selepas tiba di Lapangan Terbang Songshan di Taipei. - Foto AP
Speaker Dewan Rendah Parlimen Czech, Marketa Pekarova Adamova (kiri) berjabat tangan dengan Menteri Luar Taiwan, Joseph Wu selepas tiba di Lapangan Terbang Songshan di Taipei. - Foto AP

Taiwan alu-alukan 150 delegasi Republik Czech selepas Honduras beralih taat setia kepada China

TAIPEI: Menteri Ekonomi, Wang Mei-hua mengatakan Taiwan adalah sebahagian daripada pakatan demokratik dan boleh bekerjasama dengan mesra dengan banyak negara.

Pendapat itu dikemukakan selepas beliau mengalu-alukan delegasi besar Republik Czech ke pulau itu hari ini, sehari selepas Honduras menukarkan kesetiaan diplomatik kepada China.

Walaupun bilangan negara yang mengekalkan hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan yang dituntut China berkurangan kepada hanya 13 berikutan langkah Honduras semalam, sekutu Amerika Syarikat (AS) seperti Republik Czech mengukuhkan sokongan untuk pulau demokrasi itu walaupun mereka juga hanya secara rasmi mengiktiraf China.

Delegasi Republik Czech disertai kira-kira 150 orang tiba di Taipei kelmarin, dengan diketuai Speaker Dewan Rendah Parlimen, Marketa Pekarova Adamova.

Berikutan lawatan itu, ia dikritik China.

Bercakap kepada pemberita selepas berucap di forum perniagaan Taiwan-Czech, Wang berkata masa pengumuman Honduras dan ketibaan delegasi Republik Czech adalah dua perkara berbeza.

"Lawatan delegasi ke Taiwan ini sudah tentu mewakili Taiwan berada dalam pakatan demokratik.

"Secara diplomatik kita sebenarnya boleh mengadakan kerjasama relevan dengan banyak negara yang mesra dengan kita, terutama dalam perdagangan dan ekonomi, budaya dan sebagainya.

"ini adalah bidang yang baik. Kita akan mengukuhkan hubungan substantif dengan banyak negara demokratik," katanya.

Adamova yang dijangka bertemu Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen hari ini, memberitahu forum perniagaan Taiwan adalah rakan kongsi pelaburan penting bagi negaranya.

"Taiwan bukan sahaja rakan ekonomi yang penting tetapi juga rakan kongsi yang mesra dan demokratik dan patut mendapat perhatian dan sokongan kami," katanya.

Presiden Republik Czech yang baru dipilih, Petr Pavel mendapat teguran tajam dari Beijing pada Januari selepas menerima panggilan daripada Ing-wen, perubahan yang jelas daripada percubaan pendahulunya untuk memenangi perniagaan China.

Adamova ke Taiwan mengikuti satu penceramah Senat Milos Vystrcil pada 2020. Beliau membawa kira-kira 90 orang bersamanya dan mengisytiharkan dirinya 'orang Taiwan' dalam ucapan yang menyalurkan penentangan komunisme mendiang Presiden AS John F Kennedy di Berlin pada tahun 1963. - REUTERS

Berita Harian X