RIYADH: Majlis Kerjasama Teluk (GCC) hari ini memaklumkan sudah mengutus surat kepada diplomat tertinggi Amerika Syarikat (AS) bagi mengutuk kenyataan kontroversi oleh Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich yang dilapor menafikan kewujudan rakyat Palestin.
GCC melalui surat ditandatangani enam Menteri Luar negara anggotanya yang diutus kepada Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, menggesa Washington 'memikul tanggungjawab dalam bertindak balas terhadap semua langkah dan kenyataan yang menyasarkan rakyat Palestin.'
Selain itu, AS juga digesa 'memainkan peranan ke arah pencapaian penyelesaian yang adil, komprehensif dan berkekalan' bagi konflik Israel-Palestin.
GCC juga mengecam kenyataan terdahulu Smotrich yang mendesak supaya bandar Palestin, Huwara di Tebing Barat, 'dihapuskan'. Ia susulan dua warga Israel ditembak mati di lokasi terbabit oleh individu dikatakan pejuang Hamas pada Februari lalu, namun Smotrich kemudian menarik balik kenyataan itu.
Awal bulan ini, Smotrich dilaporkan berkata, rakyat Palestin tidak wujud, sekali gus mencetuskan kemarahan negara Arab.
Susulan itu, Jabatan Negara AS menegaskan, kenyataan Smotrich 'bukan sahaja tidak tepat, malah sangat membimbangkan dan berbahaya.' - AFP