HONG KONG: Polis membenarkan penganjuran perarakan kecil oleh penunjuk perasaan, hari ini, bagi membantah cadangan projek tebus guna tanah dan fasiliti pemprosesan sampah.
Ia adalah antara demonstrasi pertama diluluskan dengan tertakluk kepada peraturan ketat, sejak pewujudan undang-undang keselamatan negara yang menyeluruh pada 2020.
Puluhan penunjuk perasaan dikehendaki memakai 'lanyard' atau tali bernombor dan dilarang memakai topeng muka, dengan polis memantau demonstrasi berkenaan.
Berdasarkan surat polis kepada penganjur yang dilihat Reuters, antara peraturan ketat dikenakan ialah jumlah peserta dihadkan kepada maksimum 100 orang.
Polis membenarkan demonstrasi itu dengan syarat penganjur perlu memastikan protes berkenaan tidak akan melanggar undang-undang keselamatan negara, termasuk sebarang paparan atau ucapan berbaur hasutan.
Penganjur memaklumkan, kira-kira 80 orang menyertai protes yang julung kali dibenarkan polis Hong Kong dalam tempoh sejak beberapa tahun lalu.
Peserta melaungkan slogan membantah projek tambakan itu ketika berarak dengan sepanduk dalam cuaca hujan di daerah Tseung Kwan O yang juga lokasi cadangan bagi pembinaannya.
Mengulas bantahan itu, Biro Pembangunan bandar berkenaan berkata, pelaksanaan projek terbabit bertujuan 'menyokong keperluan harian masyarakat.'
Katanya, ia 'menghormati hak kebebasan bersuara' dan akan mengkaji kemungkinan mengurangkan skala tambakan itu. - REUTERS